PRK AYER KUNING l Perikatan Nasional (PN) mendakwa ujian makmal swasta mengesahkan bahawa sebuah ladang ternakan babi yang bersempadanan di Ayer Kuning membuang sisa najis haiwan itu ke Sungai Bidor.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata gabungan itu mempunyai bukti mengenai pencemaran tersebut yang datang dari sebuah ladang babi berdekatan di Kampung Poh.
"Ujian mengesahkan bahawa efluen yang dilepaskan (dari ladang babi) ke Sungai Bidor tidak dirawat dan dibuang terus ke dalam sungai,” katanya pada sidang media di pusat operasi PN di Bidor, Perak.

“Ini bercanggah dengan apa yang kerajaan Perak sebut dalam sidang DUN. Mereka mendakwa semua penternak babi mematuhi Enakmen Kawalan Penternakan Babi 1993 dan peraturan Kaedah Kawalan Penternakan Babi 2009,” katanya
Ahli Parlimen Bagan Serai itu menegaskan bahawa keputusan ujian makmal itu "sangat membimbangkan" kerana Sungai Bidor merupakan sumber air sekunder bagi penduduk Ayer Kuning dan adalah destinasi rekreasi untuk penduduk serta pelancong.
“Semasa krisis air awal tahun ini, penduduk Tapah terpaksa menggunakan air sungai untuk keperluan harian mereka.

“Bayangkan minum, ambil wuduk, dan mandikan jenazah menggunakan air tercemar najis babi,” tambahnya.