Pemuda Amanah Kelantan mempersoalkan kewajaran Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud, menuduh ketua polis Kelantan dan timbalan ketua polis negara mempunyai agenda politik menjelang pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning.
Malah ketuanya, Hazmi Hassan, turut membangkitkan kebimbangan jika kenyataan wakil rakyat PAS Kelantan itu cuba untuk menanam bibit-bibit kebencian kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kalangan penyokong mereka.
"Ia satu tindakan tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.
"Dakwaan itu bukan sahaja bersifat bacul, bahkan satu penghinaan terbuka terhadap institusi keselamatan negara yang selama ini komited menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
"Adakah Wan Rohimi cuba untuk menanam bibit-bibit kebencian penyokong PAS kepada pihak PDRM?" soalnya dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.
Hazmi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Wan Rohimi pada sidang DUN Kelantan semalam yang mendakwa, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat memberi gambar negatif berhubung kes-kes jenayah di negeri tersebut.
Wan Rohimi yang juga seorang peguam mendakwa polis mengeluarkan kenyataan mengenai kes-kes jenayah itu sejak 22 Mac lalu tanpa disokong oleh data dan fakta.

Antara isu disentuh Mohd Yusoff ialah melibatkan usahawan kosmetik yang didakwa mengetuai sindiket dadah, kejadian kes rogol serta sumbang mahram termasuk melibatkan kanak-kanak.
"Saya tertanya-tanya ketua polis nak menjual cerita sensasi atau penguat kuasa dan penjawat awam yang mempunyai disiplin tentang data?
"Pada 9 April sumbang mahram, kes rogol bawah umur... Kelantan lagi. Budak perempuan cari lelaki untuk buat hubungan seks, budak lelaki hamilkan sepupu.
"Pada 16 April ada lagi kes pegawai polis terkejut jumpa video seks anak, kenyataan Ketua Polis Kelantan.
"Dari bulan Feb, Mac dan bertalu-talu pada April kenyataan memberi gambaran negatif kepada negeri ini.
"Empat hari lepas timbalan ketua polis negara mengulang data sama, kita fikir kenapa bersungguh sangat, dan mengambil cebisan yang kecil untuk memberi gambaran yang salah.
“Sebab itu saya kata, kalau nak sebut, sebut semualah. Apabila kita (PAS) tengok (teliti) baru kita perasan… oh barangkali rupa-rupanya sebab Sabtu ni adalah pilihan raya kecil bagi DUN Ayer Kuning," katanya ketika berucap di sidang DUN Kelantan di Kota Bharu.
Boleh rencat semangat
Sementara itu Hazmi turut mendesak agar PAS mengambil tindakan segera terhadap Wan Rohimi dan kegagalan berbuat demikian membuktikan parti itu merestui tindakan pemimpin mereka menghina serta melemahkan institusi keselamatan negara.
"Sekiranya PAS terus berdiam diri, maka jelaslah bahawa mereka adalah parti yang tidak menghormati undang-undang, institusi keselamatan dan semangat kenegaraan.
"Kami berdiri teguh bersama PDRM dan semua penjawat awam yang menjalankan tugas demi negara.
"Mana-mana pemimpin yang tidak menghormati undang-undang dan institusi negara tidak layak memegang amanah rakyat," katanya.
Dalam perkembangan sama Ketua PKR Kota Bharu, Abu Hamid Muhammad Abu Samah, menggesa Wan Rohimi segera memohon maaf secara terbuka kepada Mohd Yusoff.

Katanya, mengkritik atau mempertikaikan usaha polis menangani isu keselamatan - termasuk kebejatan sosial - bukan sahaja tidak sesuai, malah boleh merencatkan semangat pasukan keselamatan terbabit.
“Saya yakin pihak polis tidak akan mempergunakan isu masalah sosial di Kelantan untuk tujuan politik. Tugas mereka berdasarkan profesionalisme dan tanggungjawab terhadap keselamatan rakyat.
"Setiap maklumat dan langkah yang diambil adalah demi kebaikan masyarakat tanpa melibatkan kepentingan politik mana-mana pihak.
“Sebagai seorang Adun dan pemimpin kerajaan negeri, Adun Melor itu seharusnya mengambil maklumat yang disampaikan pihak polis sebagai satu langkah untuk mencari penyelesaian terhadap masalah sosial yang wujud dalam masyarakat.
“Ini adalah tanggungjawab bersama, dan wakil rakyat perlu lebih fokus kepada usaha bersama untuk menangani isu tersebut, bukannya mencari alasan untuk menyalahkan pihak lain,” katanya ketika dihubungi.