Bekas pemangku pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saari, 50, meninggal dunia pagi ini di Institut Kanser Negara, Putrajaya.
Berita dukacita itu dikongsikan oleh Penolong Setiausaha Agong Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Khubaib Azhari dalam satu kenyataan.
Dalam hantaran di media sosialnya, Ikram memaklumkan bahawa solat jenazah allahrayham yang juga setiausaha agung pertubuhan itu akan dilaksanakan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang selepas solat Zohor, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan.
Shahrul Aman memangku jawatan pengerusi Bersih dari Mac hingga Okt 2018, selepas Maria Chin Abdullah melepaskan tugas itu bagi bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.
Shahrul Aman, yang merupakan bapa kepada lima orang anak, juga pernah menjadi setiausaha kepada bekas menteri pendidikan Maszlee Malik.
Bekas ahli jawatankuasa pemandu Bersih Mandeep Singh berkongsi belasungkawa terhadap Shahrul Aman yang meninggal dunia tepat ulang tahun ke-13 perhimpunan Bersih 3.
Menurut Mandeep, Shahrul Aman, yang pertama kali ditemuinya pada 2016 ketika allahyarham menyertai jawatankuasa itu, sentiasa tenang meski dalam situasi yang tidak menentu.
“Ketika sesetengah kami lebih agresif dalam gerakan, Shahrul memainkan peranan penting sebagai pengimbang dalam jawtaankuasa pemandu Bersih.
“Berbudi bahasa dalam masa sama tegas, kekuatannya dalam diam memberi kesan yang kekal terhadap orang di sekelilingnya,” katanya.
Mandeep juga mengimbas bahawa seperti ramai rakan lain dalam gerakan Bersih, Shahrul Aman juga perlu membayar harga untuk Malaysia yang lebih baik.
“Dia disingkir dari kerja yang dibayar gaji lumayan tanpa amaran, dihalau keluar dari pejabat dalam masa beberapa jam. Namun, dia tidak pernah mengeluh. Dia terus cekal, mendedikasikan dirinya kepada rakyat dan gerakan Bersih,” katanya.
Mandeep mengimbas kembali ketika Maria Chin dan dia ditangkap pada malam perhimpunan Bersih 5 pada 2016, Shahrul melangkah ke depan tanpa teragak-agak dan memimpin puluhan ribu rakyat Malaysia.
"Apabila Maria kemudiannya ditahan selama 11 hari, Shahrul sekali lagi yang mengisi kekosongan kepimpinan. Pada hari-hari gelap dan tidak menentu itu, kehadirannya sangat kritikal dalam memastikan Bersih kekal utuh.
"Shahrul, terima kasih atas segala yang anda lakukan untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik. Keberanian anda, kebaikan anda, semangat anda yang tidak berbelah bahagi akan kekal bersama kami selama-lamanya," tambahnya.
Sementara itu, Maszlee berkata Shahrul Aman merupakan seorang aktivis berjiwa kental dan pendakwah yang mampu merangkul kepelbagaian dan kosmopolitan tanpa melunturkan identiti perjuangannya.
“Ini terbukti dalam penglibatan beliau dalam banyak perkumpulan dan gabungan masyarakat sivil mewakili Pertubuhan Ikram,” katanya kepada Malaysiakini.
