Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Sura nak saman peguam lepas dituduh menghasut
Diterbitkan:  Apr 29, 2025 1:24 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

Adun Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi, menganggap pandangan diberikan ke atasnya berhubung kenyataan mengenai orang Melayu di Singapura sebagai sangat berat, tidak berasas serta berniat jahat.

Kata Adun PAS Terengganu itu, kenyataan peguam, Zulqarnain Lukman, yang mengulas hantarannya di media sosial cuba memberi gambaran bahawa dia seolah-olah menghasut masyarakat mengurangkan kepercayaan kepada institusi Raja-Raja Melayu.

Justeru, kata Tengku Muhammad Fakhruddin, dia sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam berkenaan.

"Tuduhan ini bukan sahaja mencemar reputasi saya sebagai wakil rakyat, malah cuba mencetuskan persepsi buruk yang berunsur fitnah terhadap saya secara peribadi dan politik.

"Saya sedang mengambil langkah undang-undang terhadap Zulqarnain atas kenyataan liar dan bersangka buruk ini.

"Jangan menggunakan title 'pakar perlembagaan' tersebut untuk membuat sebarang tuduhan dan membawa persepsi jahat kepada seseorang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Zulqarnain mendakwa kenyataan dibuat Adun terbabit adalah berbahaya dan mencadangkan agar tindakan undang-undang diambil ke atas ahli politik terbabit.

Zulqarnain berkata, hantaran tersebut cenderung kepada perbuatan menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Zulqarnain Lukman

Asalnya Tengku Muhammad Fakhruddin menulis mengenai kedudukan orang Melayu Malaysia yang didakwanya boleh tergugat walaupun termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Dia juga membandingkan keberadaan orang Melayu Malaysia dan Singapura yang didakwanya sedang dikuasai kerajaan republik berkenaan.

"Semua ini berlaku tanpa perlu pinda satu huruf pun dalam perlembagaan. Kalau DAP dan geng dapat dua per tiga di parlimen (Malaysia), apa boleh jadi?

"Kerusi Melayu dikecilkan, ubah peta pilihan raya, buat Melayu jadi minoriti dalam banyak kawasan, nak menang pilihan raya, sayonara-lah," dakwanya yang menekankan bahawa perlembagaan itu hanya kertas.

Menurut Tengku Muhammad Fakhruddin, semua pihak wajib memelihara institusi Raja-raja Melayu di negara ini.

"Tetapi memfitnah sesama rakyat atas nama kononnya mempertahan institusi raja adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Pada masa sama Tengku Muhammad menegaskan dia akan terus bercakap tentang keadilan untuk rakyat serta enggan tunduk kepada "taktik ugutan fitnah" seperti yang dilakukan ke atasnya.

“Kebenaran itu tidak boleh ditenggelamkan oleh fitnah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS