Seorang wanita membuat laporan polis terhadap pengasuh anaknya pada Jumaat lalu di Balai Polis Kuantan, Pahang.
Dalam laporan itu, dia yang bekerja sebagai jurujual mendakwa anaknya yang baru berusia setahun sebulan mengalami kekurangan oksigen selepas leher terbelit dengan tali buai semasa dalam jagaan pengasuh itu pada 15 April lalu.
Ding Yee Mun, 36, berkata anaknya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan oleh pengasuh berusia 50-an itu sekitar jam 9.30 pagi.
"Saya menerima panggilan daripada pengasuh itu ketika mereka sudah di HTAA.
"Ketika saya sampai, badan anak saya sudah kebiruan dan dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Pengasuh itu berulang kali meminta maaf dan memberitahu anak saya tidur di bilik bahagian atas rumah dalam buaian sebelum dia menyedari kejadian berkenaan," katanya ketika sidang media di pejabat Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, di Kuantan hari ini.
Turut hadir dalam sidang media itu adalah pegawai khas Fuziah, Koh Yee Yen.
Ding berkata dia mula menghantar anaknya kepada pengasuh terbabit sejak Mei tahun lalu dan tidak pernah berlaku sebarang insiden tidak diingini sepanjang tempoh berkenaan.
"Apa yang berlaku kepada anak kami ini memang sangat menyedihkan, dia ditempatkan dalam ICU kira-kira 10 hari.
"Sekarang pun dia masih belum pulih... kini anak saya ditempatkan dalam wad bersebelahan (wad ICU) dan ubat antibiotik dimasukkan dalam tubuhnya.
"Doktor cakap akan ambil masa yang panjang, perlu rawatan susulan dan terapi fizikal," katanya lagi.
Dia yang memiliki dua lagi anak berusia sembilan dan tiga tahun berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan lanjut jika terdapat unsur kecuaian.
Sementara itu, Koh berkata, pihak pengasuh sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini memandangkan insiden berlaku ketika mangsa berada dalam jagaannya.
"Jadi, Ding hanya mahu polis siasat jika memang berlaku kecuaian hingga anaknya mengalami masalah sehingga perlu melalui rawatan di ICU," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu menjelaskan pertama mengenai kejadian itu dibuat bapa mangsa pada hari kejadian (15 April) sekitar jam 12 tengah hari.
"Bagaimanapun, dalam laporan dibuat bapa mangsa, dia menyatakan bahawa tujuan laporan dibuat adalah untuk mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan tidak bercadang untuk mengambil tindakan lanjut terhadap pengasuh.
"Namun, isteri mangsa tampil membuat laporan polis kedua pada 25 April lalu dan meminta siasatan dilakukan terhadap pengasuh terbabit jika ada unsur kecuaian," katanya.
"Kes ini kita siasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya, sambil menambah pihaknya telah merakam keterangan Ding dan juga doktor yang merawat anaknya.