Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Amerika Syarikat menjadi pendukung utama genosid yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin, dan menggesa dunia supaya berani bangkit mencabar kuasa besar itu demi menghentikan pertumpahan darah.
Dalam satu kenyataan pedas, Mahathir menuduh AS sebagai “hipokrit besar” yang selama ini mendabik dada sebagai pejuang hak asasi manusia tetapi pada masa sama menyokong pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Setiap hari rakyat Palestin dibunuh oleh Israel. Bayi, kanak-kanak dan wanita mati di depan mata kita. Hospital dibedil, sekolah dimusnahkan, bahkan pesakit yang terlantar pun terpaksa digerakkan kerana tempat perlindungan pun turut dibom.
“Tapi dunia tidak berbuat apa-apa. Kenapa? Kerana pembunuhan ini disokong sepenuhnya oleh rakyat Amerika yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan kesucian nyawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mahathir, kekejaman Israel berlaku dalam keadaan terang-terangan tanpa sedikit pun rasa gentar terhadap undang-undang antarabangsa, bahkan ambulans serta petugas perubatan juga menjadi sasaran.
Katanya, dunia sepatutnya menghantar pasukan pengaman ke Gaza, namun tiada tindakan konkrit dilakukan setakat ini. Malah, bantuan asas seperti makanan, ubat dan air juga disekat oleh Israel.

“Israel mahu Gaza dikosongkan daripada rakyatnya. Apabila permintaan itu tidak dituruti, mereka membunuh – lelaki, bayi, wanita, warga emas dan orang sakit dibedil tanpa belas,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahathir menyifatkan Amerika sebagai negara yang menganggap seluruh dunia sebagai musuh dan sentiasa mencari alasan untuk menuduh negara lain menipu atau mengancam kepentingannya.
“Amerika mahu merampas seluruh negara bagi menjadikan dirinya agung. Dunia kini berdepan ancaman serius perang dunia ketiga. Tapi dunia mesti panggil gertakan Amerika itu – hanya ancaman balas terhadap Amerika boleh menghentikan sokongannya terhadap Israel,” katanya.
Dia turut membidas kenyataan pemimpin AS yang mengaitkan pembunuhan itu dengan alasan “sumbangan politik” dan “keselamatan”, dan menyifatkannya sebagai satu pembohongan terbesar dalam sejarah moden.

“Kita takut pada Amerika. Tapi kita mesti mengatasi ketakutan itu. Ada cara untuk menghentikan pembunuhan ini,” kata Mahathir, sambil menyeru komuniti antarabangsa agar tidak tunduk pada tekanan kuasa besar.