Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Umno Sabah mengesahkan BN di negeri itu akan bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhami Nasir berkata keputusan tersebut dicapai lebih awal dalam pertemuan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Bagaimanapun, Suhaimi yang juga ahli parlimen Libaran berkata kerjasama antara BN-PH itu bukan bermakna menutup pintu rundingan dengan parti tempatan lain.

“Sebenarnya keputusan kita mengenai kerjasama ini (BN-PH) telah diputuskan dalam retreat kami di Pulau Pinang baru-baru ini.

“(Ketua Umno Sabah) Datuk Seri Bung Moktar Radin maklumkan sebelum ini bahawa (kerjasama) BN-PH itu adalah kunci tetapi kita tidak menutup kepada parti-parti lain.

“Tapi tidaklah terbuka luas kepada semua parti," katanya dalam pertemuan bersama media di Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Kata Suhaimi, meskipun PH masih berada dalam kerajaan negeri yang diterajui GRS sehingga habis penggal, namun perbincangan setakat ini hanya melibatkan BN dan PH.

"Sama ada kerajaan GRS-PH ini masih mahu terus berunding (untuk membentuk pakatan) BN-PH-GRS, itu terpulang. Tetapi bukan hari inilah. Hari ini kita memang BN-PH saja," katanya.

40 kerusi untuk BN, 33 untuk PH

Suhaimi juga berkata, proses perbincangan dengan PH berjalan dengan baik termasuk rundingan mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi sekiranya kerjasama itu terlaksana.

Menurutnya, Umno-BN bersetuju bertanding di 40 daripada 73 kerusi DUN, manakala baki 33 kerusi akan diberikan kepada PH.

Proses saringan calon juga katanya sedang berlangsung.

"Kalau (kerjasama) BN-PH, kita sudah ada persefahaman dan tak ada pelanggaran atau pertindihan kerusi. Mereka juga sudah bersetuju dengan kerusi yang kita mahu bertanding.

“Jadi, kita dah putuskan bahawa kita akan bertanding di 40 kerusi DUN, selebihnya adalah PH,’ katanya.

Ditanya jika ada usaha menjalinkan kerjasama dengan GRS, Suhaimi berkata gabungan parti yang menerajui kerajaan Sabah itu ketika ini tidak menunjukkan sebarang kecenderungan ke arah itu.

“Memang ada (perbincangan antara BN-GRS) sebelum ini, kita ada berbincang tetapi memang tak jadi. Tak sampai 50-50 pun.

“Dan sebab itu kita fokus pada BN-PH dan kita dah kunci dah (kerjasama) dan mungkin dengan parti-parti yang berminat,” katanya.

Suhaimi juga menyatakan kebimbangan akan timbul pertindihan kerusi sekiranya BN menjalinkan kerjasama dengan GRS.

Katanya, isu pertindihan kerusi itu bukan hanya membabitkan beberapa kerusi DUN tetapi hampir keseluruhan.

"Contohnya Dalit, (Tanjung) Keramat, Tawau dan Balung, kita bertindih. Terlalu banyak (sebenarnya).

"Isu ini waktu kita tanding (atas tiket) BN, kita menang tapi lompat pergi sana (parti lain). Begitu juga yang ada di GRS sekarang, kebanyakan kerusi yang lompat dari Warisan (Parti Warisan Sabah)... Lompat pergi sana dan membentuk jadi kerajaan.

"Sampai sekarang rakyat Sabah, mereka tidak berkeyakinan dengan GRS sebab apa? Sebab GRS ini terbentuk semua dari kerusi yang lompat. Hampir semua (kerusi)," katanya.

Warisan mahu bergerak solo

Ditanya jika Umno-BN berhasrat 'menarik' sokongan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam pakatan kerjasama itu, Suhaimi mengesahkan yang parti berkenaan sudah memutuskan untuk bergerak secara solo.

Namun begitu, Suhaimi berkata dia tidak menolak kemungkinan segalanya boleh berubah sekiranya Warisan mahu menjalinkan kerjasama dengan BN-PH.

"Buat masa ini Warisan katakan bahawa mereka akan berjalan solo. Tetapi kita tidak tahu sampai esok waktu gendang dipalu, kita tak boleh jangka sebab kedinamikan politik (di Sabah) susah diramal," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS