Jika istilah "pendatang haram" dianggap menghina, apatah lagi istilah "kuil haram", kata Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.
Saravan berkata ketika dia menjadi menteri sebelum ini, dia pernah ditegur kerana menggunakan istilah "haram" terhadap pendatang asing berikutan aduan yang dibuat kepada kerajaan.
"Kerajaan sensitif apabila kita menggunakan perkataan haram terhadap warga asing, tapi masyarakat India bekerja keras lebih 200 tahun membangunkan negara ini.
"Adalah fakta Malaysia menjadi maju dengan menjual getah, jika komuniti india tak datang ke Malaysia sebagai penoreh getah, Malaysia mungkin mengambil masa lebih panjang untuk maju seperti apa yang kita nampak hari ini, tapi kita semua tahu apa yang sedang berlaku hari ini.
"Masyarakat India bersatu padu kerana kuil, inilah tempat kita berkumpul, dulu sejarah ini tak dipertikai, tapi dalam masa enam bulan ini, ia menjadi isu, kami semua tahu siapa dan macam mana mereka buat ini," katanya dalam satu ucapan di sebuah kuil di Batu Caves, Selangor hari ini.
Pada 21 April, Saravanan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan supaya berhenti menggunakan istilah “kuil haram”.
Gesaan itu dibuat selepas pihak pengurusan Hospital Taiping memberi maklum balas terhadap satu aduan berkenaan rumah ibadat yang terletak di dalam kawasannya.

Dalam jawapan rasmi bertajuk “Maklumbalas PCB 965228 - Aduan Kuil Haram”, Timbalan Pengarah Hospital Taiping, Arni Nadhirah Abdul Hadi menyatakan bahawa tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil.
Saravanan menzahirkan bantahan keras terhadap penggunaan istilah tersebut, dengan menegaskan banyak kuil berkenaan telah wujud sejak berdekad-dekad lalu – jauh sebelum penggubalan Kanun Tanah Negara pada tahun 1965.
Pertikaian mengenai istilah ini tercetus apabila kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia 130 tahun di Kuala Lumpur dipindahkan susulan hasrat pemilik tanah untuk melaksanakan wakaf bagi membina masjid.
Ketika itu, Anwar menyatakan bahawa kuil tersebut dibina tanpa kebenaran daripada pemilik tanah terdahulu dan ketika ini.
“... soal pembinaan masjid di tapak yang ada kuil yang tidak mendapat izin. Ada orang tak mahu sebut, bukan kuil haram, tak apalah istilah," katanya.
Anwar juga berkata kuil itu bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.
Sebelum ini Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek menggesa Anwar dan kerajaan menolak penggunaan istilah "haram" bagi mana-mana rumah ibadat, walaupun ia dibina di atas tanah yang menjadi pertikaian.
Zaid turut menyatakan bahawa sebahagian besar reaksi bermusuhan datang daripada "satu kumpulan etnik", yang menurutnya adalah satu trend yang membimbangkan.