Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Bersatu nak kerjasama dengan Umno sebab risau hubungan dengan PAS’
Diterbitkan:  May 2, 2025 12:06 PM
Dikemaskini: 4:06 AM

Kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainuddin bahawa Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan Umno disifatkan sebagai bukti kebimbangan parti itu terhadap nasib mereka dalam PN.

Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub mendakwa Bersatu tahu PAS beberapa kali bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan.

"Bersatu tahu PAS telah berusaha untuk meyakinkan Anwar supaya mereka diterima dalam kerajaan. Bukan sekali, tapi sudah berkali-kali PAS menghantar 'wakil-wakil' mereka berjumpa Anwar untuk tujuan itu.

"Bersatu menyedari itu dan terasa mereka akan ‘dikencing’ PAS. Maka sebagai jalan keluar dan demi kelangsungan parti, mereka menawarkan untuk berkerjasama dengan Umno atas alasan dasar perjuangan Umno dan Bersatu adalah sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berhubung dakwaan pertemuan tersebut.

Dalam sesi audio siar bersama bekas menteri Zaid Ibrahim sebelum ini, Hamzah berkata Bersatu yang merupakan serpihan Umno mempunyai ideologi yang sama dengan parti itu, maka pihaknya sedia untuk bekerjasama bagi mencapai tujuan yang sama.

Hamzah Zainudin

"Jika dilihat dari sudut agenda, Umno ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Hari ini, Bersatu juga memegang ideologi yang sama.

"Adakah mungkin satu masa nanti ada kerjasama? Ini bukan bermakna Bersatu tidak kuat tetapi kita terbuka untuk bekerjasama," kata Hamzah.

Malah ketika kempen PRK Ayer Kuning sebelum ini, Hamzah masalah ladang babi di Perak terutama di Ayer Kuning boleh diselesaikan sekiranya Umno bergabung dengan PN bagi membentuk kerajaan negeri.

Namun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hasrat itu sebagai hanya mimpi di siang hari.

Sementara itu, Mustapha berkata apa yang dikatakan Hamzah berhubung persamaan antara kedua-dua parti adalah benar kerana Perlembagaan Bersatu diambil daripada Perlembagaan Umno dan kebanyakan pemimpin dan ahli Bersatu memiliki “DNA Umno”.

Oleh itu berbanding kedua-dua parti mengadakan kerjasama, Mustapha menyarankan agar Bersatu dibubar dan semua ahlinya kembali menyertai Umno.

"Apa yang perlu pucuk pimpinan Bersatu lakukan ialah memanggil perhimpunan agung khas dan membuat keputusan membubarkan Bersatu, seperti yang pernah dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah semasa pembubaran Semangat 46. 

"Semua ahli Bersatu kembali semula kepada Umno secara en bloc. Itulah cara yang terbaik kalau Bersatu mahu memperjuangkan ugama, bangsa dan negara. Bukan berkerjasama dengan Umno tetapi bersama dalam Umno," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS