Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa tiada saman akan dikeluarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025.
Perintah tersebut yang antara lain mewajibkan klinik swasta memaparkan harga ubat, telah berkuat kuasa semalam, meskipun menerima bantahan daripada pihak tertentu yang mendakwa kerajaan tidak mengadakan libat urus sewajarnya.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Azuana Ramli, menegaskan bahawa pihak berkuasa memberi keutamaan kepada pendekatan “penguatkuasaan berbentuk pendidikan” dalam tempoh ini.
“(Mengikut) perintah itu, apa yang perlu dilakukan dan bagaimana ia dilaksanakan sudah jelas, tetapi kita perlu melihat bagaimana pematuhan dilaksanakan.
“Jadi, dalam tempoh tiga bulan ini, kita tiada hasrat untuk (mengeluarkan) denda, notis dan sebagainya kerana ini adalah fasa advokasi dan penerangan,” kata Azuana dalam satu taklimat media mengenai isu tersebut di Putrajaya hari ini.

Jaminan itu dibuat susulan laporan sekumpulan doktor swasta yang mendakwa pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membuat pemeriksaan ke atas klinik dan memberi tempoh selama tiga hari agar mereka memaparkan harga ubat atau berdepan tindakan undang-undang.
Kumpulan tersebut mengecam tindakan penguatkuasa berkenaan memandangkan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad serta Menteri KPDN Armizan Ali telah memberi jaminan bahawa tiada tindakan akan dikenakan terhadap klinik atau farmasi yang gagal mempamer harga ubat dalam tempoh tiga bulan pertama.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam, menafikan dakwaan yang dibuat oleh Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), dan menegaskan bahawa tiada tindakan sedemikian dilakukan.
Menurut Azman, pegawai terlibat hanya singgah ke sebuah klinik ketika mereka melakukan penguatkuasaan berkaitan penjualan telur dan lesen perniagaan.
"Pegawai-pegawai kami membuat pemeriksaan, kebetulan klink tersebut dibuka untuk operasi dan pegawai kami cuma tanya samada dia aware atau tidak aware mengenai pameran harga (ubat).
"Tidak ada apa-apa notis atau tindakan saman dikeluarkan semalam, harap dapat jelaskan perkara tersebut,” tambahnya.
Bagi pelaksanaan seterusnya, pemeriksaan ke atas premis perubatan akan diketuai oleh pegawai penguat kuasa farmasi Kementerian Kesihatan, manakala pegawai KPDN hanya akan terlibat secara bersama dalam usaha berkaitan paparan harga dari semasa ke semasa.
Sesi libat urus telah diadakan
Sementara itu, Azuana turut memaklumkan bahawa beberapa sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan telah diadakan, dan “majoriti” yang terlibat menyokong peraturan itu sebagai langkah menjamin ketelusan.

“Kita dah ada sesi libat urus, jelas bahawa majoriti pihak berkepentingan bersetuju (dengan peraturan ini)... dalam apa jua cara, jelas bahawa (peraturan) ini perlu dilaksanakan.
“Saya faham ada pihak tertentu yang menentang (arahan ini) atau mungkin ada kebimbangan terhadap aspek penguatkuasaan, (tetapi) perkara tersebut boleh ditangani,” katanya.
Sebelum ini, dasar tersebut mencetuskan bantahan daripada beberapa pihak dalam industri perubatan, terutamanya Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang merancang untuk mengadakan perhimpunan pada 6 Mei bagi membantah peraturan berkenaan.
Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira, mendakwa bahawa dalam satu mesyuarat bersama pengamal kesihatan pada Februari lalu, Dzulkefly telah berjanji bahawa ketelusan harga hanya akan dilaksanakan selepas kadar bayaran doktor am (GP) disemak semula.
Doktor berkata penjualan ubat merupakan sumber utama bagi menampung operasi klinik, terutamanya memandangkan kadar bayaran GP tidak pernah disemak selama 33 tahun.
Satu laporan analisa kos dan manfaat yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia pada tahun 2021 turut memberi amaran bahawa sekiranya klinik terpaksa gulung tikar akibat kerugian, akses golongan B40 terhadap perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar mungkin terjejas.
