ULASAN | Pendedahan maklumat peribadi tanpa izin merupakan pencerobohan yang serius dan wajib dilihat sebagai jenayah. Individu yang menyalahgunakan data orang lain untuk mengugut, memalukan atau menekan mereka di ruang digital wajar dikenakan tindakan tegas di bawah perundangan yang ketat.
Ia bukan semata-mata isu moral atau etika, tetapi sebaliknya turut menyentuh soal keselamatan peribadi dan integriti seseorang.
Mereka yang terlibat perlu diberi peringatan jelas bahawa perbuatan sebegitu boleh membawa kepada hukuman berat, termasuk denda, penjara dan sekatan akses digital.
Jika diperhatikan, terdapat kecenderungan membimbangkan dalam kalangan pempengaruh media sosial yang menggunakan populariti mereka untuk mendedahkan identiti serta maklumat peribadi individu lain.
Sama ada atas alasan tidak sependapat atau demi mencetuskan perhatian umum, tindakan berkenaan jelas mencerminkan penyalahgunaan kuasa digital.
Lebih membimbangkan, ia dilakukan secara terbuka dan tanpa rasa gentar terhadap implikasi undang-undang. Makin dibiarkan, makin melampau sehingga wujud tanggapan bahawa tiada apa yang mampu menyekat perbuatan tersebut.
Tindakan sedemikian bukan sahaja menjatuhkan maruah mangsa, malah menormalisasi budaya mengaib yang menghukum dan tidak berperikemanusiaan.
Kita sedang berdepan dengan bentuk jenayah siber yang semakin kompleks.
Ruang ketirisan data
Data peribadi yang sepatutnya dilindungi kini dimanipulasi menjadi senjata sosial.
Oleh itu, kerajaan perlu menggubal satu undang-undang khusus berkaitan privasi bagi memastikan keselamatan digital rakyat tidak terus terdedah kepada ancaman tanpa perlindungan sewajarnya.
Undang-undang itu mesti bersifat tegas, menyeluruh dan berkuat kuasa tanpa sebarang kompromi.
Teknologi masa kini membolehkan hampir setiap aspek kehidupan seseorang diakses, direkod dan digunakan tanpa kebenaran.
Tanpa kerangka undang-undang yang jelas, data seperti identiti peribadi, sejarah kewangan dan interaksi sosial boleh disalahgunakan untuk tujuan jahat.
Akta kawalan privasi perlu menetapkan sempadan tentang siapa yang dibenarkan menyimpan, memproses dan menyebarkan maklumat, serta menetapkan akibat undang-undang bagi mana-mana pelanggaran.
Selain itu, ketiadaan undang-undang yang khusus menyebabkan sesetengah pihak beroperasi dalam ruang perundangan yang tidak jelas.
Ia membuka ruang kepada ketirisan data, pemantauan tanpa kawalan dan eksploitasi maklumat secara sewenang-wenangnya. Akta kawalan privasi akan memperincikan tanggungjawab serta had kuasa setiap pihak yang berurusan dengan data pengguna, selain melindungi hak individu untuk menuntut keadilan apabila maklumat mereka disalahgunakan.
Akta itu turut memainkan peranan penting dalam memulihkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan ruang digital.

Ia perlu memperuntukkan hak yang jelas kepada individu untuk mengawal, menarik semula atau memadamkan data peribadi mereka.
Mangsa pendedahan data tanpa izin juga mesti diberikan mekanisme perundangan yang efisien, berintegriti dan berpihak kepada keadilan.
Kerajaan perlu menunjukkan komitmen berusaha melindungi privasi rakyat. Tidak boleh ada sebarang kompromi apabila melibatkan keselamatan dan maruah warganegara.
Setiap bentuk penyalahgunaan maklumat – sama ada untuk mengugut, memeras ugut atau menekan individu lain – mesti ditangani dengan hukuman yang setimpal. Undang-undang tidak membawa makna jika penguatkuasaannya bersifat terpilih.
Kegagalan melindungi privasi rakyat akan memberikan kesan besar terhadap kepercayaan rakyat kepada sistem pentadbiran negara. Tanpa jaminan perlindungan data, rakyat akan berasa terdedah, tidak selamat, dan akhirnya menjauhkan diri daripada ekosistem digital negara.
Implikasinya bukan sahaja memberi kesan kepada individu, tetapi turut melemahkan keupayaan negara untuk maju sebagai masyarakat digital yang selamat.
Negara ini tidak boleh tunduk kepada mana-mana anasir yang menganggap diri mereka kebal daripada tindakan undang-undang. Setiap cubaan mencabar sistem melalui penyalahgunaan data dan pencerobohan privasi harus ditentang dengan tegas.
Tiada individu terkecuali daripada undang-undang. Ini adalah prinsip asas dalam menjamin keselamatan dan keadilan untuk seluruh rakyat.
Cukuplah dengan amaran dan kelonggaran. Mana-mana pihak yang melanggar hak privasi rakyat mesti didakwa dan dihukum tanpa pengecualian.
Negara ini mengangkat prinsip kedaulatan undang-undang sebagai asas pemerintahan, dan sebarang pencabulan terhadap hak rakyat wajib dihentikan melalui sistem keadilan.
MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
