Seorang pakar undang-undang membidas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, menyifatkan menteri itu salah tafsir peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.
Peguam Rajesh Nagarajan mempertikaikan dakwaan Fahmi baru-baru ini bahawa 99 peratus daripada "permohonan" di bawah PAA untuk mengadakan perhimpunan aman antara 2022 dan 2024 telah diluluskan.
Melabelkan kenyataan itu sebagai "karut dan mengelirukan", Rajesh (gambar atas) menekankan bahawa undang-undang itu hanya memerlukan penganjur untuk memberitahu polis tentang perhimpunan dan tidak menetapkan keperluan untuk mengemukakan permohonan.
"Tidak ada 'permohonan' di bawah PAA. Polis tidak berhak untuk 'meluluskan' apa-apa," kata Rajesh kepada Malaysiakini.
“Amat membimbangkan apabila seorang menteri dalam kabinet membuat kenyataan yang mengelirukan mengenai peruntukan PAA.
“(Fahmi) nampaknya tidak faham perbezaan antara memberitahu polis dan meminta kelulusan daripada polis,” tambahnya.
Sambil memberi amaran bahawa kenyataan Fahmi boleh mengakibatkan pertikaian yang meluas antara rakyat dan polis, Rajesh mengulangi hujah bahawa polis tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan “permit” untuk perhimpunan kerana kebenaran itu tidak diperincikan di bawah PAA.
"Polis, yang kini tersalah ikut dengan kenyataan menteri, akan menganggap mereka mempunyai kuasa untuk meluluskan notis itu. Ini adalah salah sama sekali.
"Polis tidak mempunyai kuasa untuk menolak sebarang perhimpunan awam di bawah PAA. Apabila notis diberikan, polis boleh memantau dan/atau mengenakan syarat, (tetapi) mereka tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan perhimpunan itu," tegasnya.
Sebelum ini, pengalam undang-undang telah menekankan bahawa PAA menyatakan bahawa polis hanya perlu diberi notis sekurang-kurangnya lima hari sebelum acara itu, dengan orang ramai tidak perlu membuat permohonan untuk mendapatkan permit.
Walau bagaimanapun, polis kadangkala menolak pemakluman orang ramai untuk mengadakan perhimpunan, sering menggunakan alasan butiran dokumentasi tidak lengkap seperti kebenaran daripada pemilik tempat perhimpunan atau butiran lain yang diperlukan.
Semasa sidang media mesyuarat pascakabinet pada Rabu, Fahmi juga berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman (Pindaan) 2025 di Parlimen pada persidangan kedua atau ketiga tahun ini.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, berkata pindaan itu dijangka "menguatkan" hak orang ramai untuk berhimpun secara aman.
Awal tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan cadangan pindaan akan menghapuskan keperluan penganjur untuk mendapatkan kelulusan daripada pemilik premis, seperti yang dinyatakan di bawah beberapa seksyen PAA, termasuk Seksyen 11.
