Polis hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan seorang wanita yang dijadual bertemu dengan SPRM untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata dia telah menghilangkan diri sekitar jam 3.02 petang pada 9 April, menjelang perjumpaan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Polis berkata kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
“Laporan polis juga telah dibuat oleh peguam mangsa di Seri Kembangan, Selangor berhubung kehilangan mangsa.
“Perbualan beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa telah dirakam bagi membantu siasatan ini,” kata Rusdi.
Menurut Rusdi, wanita itu sebelum ini telah beberapa kali bertemu dengan SPRM untuk memberikan kenyataan.
Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai siasatan berkenaan.
Kenyataan awal dari adik wanita itu, Simon mengenal pasti mangsa berusia 42 tahun bernama Pamela Ling, isteri kepada Thomas Hah Tiing Siu.
Hah seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengna kontroversi berkaitan urus niaga tanah di Kudat, Sabah.
Dalam satu kenyataan, Simon mendakwa bahawa kakanya diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Pada pukul 1:57 petang, Pamela memaklumkan peguamnya melalui WhatsApp bahawa dia dalam perjalanan dan dijangka tiba pada pukul 2:08 petang.
"Dia dalam perjalanan menaiki kenderaan e-hailing Grab ketika itu," katanya.
Simon berkata, keluarga mereka difahamkan bahawa perjalanan e-hailing Pamela ke Putrajaya telah dipintas oleh tiga kenderaan sebelum diarahkan memasuki salah satu kenderaan lain.
"Pamela tidak dilihat atau didengar sejak petang itu. Kini sudah lebih 20 hari sejak kehilangannya," katanya.
Menurutnya, Pamela memulakan perjalanan di Jalan Cheras, Kuala Lumpur dan lokasi terakhir telefon bimbitnya dikesan sekitar 1.52 tengah hari di Lebuhraya Maju Expressway (MEX), berhampiran Pusat Bandar Putra Permai sekitar 1.52 tengah hari.
"Kami bimbang keselamatannya dan masa sangat suntuk. Keadaan sekitar kehilangan Pamela adalah sangat luar biasa dan menuntut siasatan bersungguh-sungguh.
“Kami juga menggesa orang ramai yang mungkin mempunyai sebarang maklumat, sekecil mana pun, tampil membantu mengesan Pamela,” katanya.
Peguam Pamela, N Sivananthan memberitahu Malaysiakini bahawa Pamela dan suaminya disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
