Jemaah menteri dan Parlimen akan dimaklumkan sebaik negara menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif timbal balik ke atas import Malaysia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PH-Tambun).
Anwar memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa segala perbincangan yang sedang berjalan adalah tertakluk di bawah perjanjian kerahsiaan (NDA).
Katanya, ini selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif.
“Sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh, termasuk di peringkat kabinet dan jika perlu, dibentangkan kepada parlimen.

“Walaupun saya tidak dapat mengumumkan proses secara terperinci kerana semua perbincangan yang diadakan baru-baru ini termasuk rombongan yang diketuai Menteri MITI (Pelaburan, Perdagangan dan Industri), terikat dengan NDA, ini amalan antarabangsa, mana-mana perjanjian sebelum dimuktamadkan itu mesti jaga kerahsian.
“Tetapi tentunya sebaik dimeterai kita akan memaklumkan ke jemaah menteri dan seterusnya kepada parlimen,” kata Anwar ketika sesi penerangan berkenaan tarif AS pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Pada 24 April lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah mengetuai delegasi peringkat tinggi Malaysia ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Dalam pertemuan itu, Tengku Zafrul menekankan mengenai kepentingan untuk mengadakan perbincangan secara berterusan selain mengulangi kesediaan Malaysia bagi mengenal pasti jalan penyelesaian secara membina terhadap kebimbangan disuarakan oleh AS.
