Zaid Ibrahim mempersoalkan sama ada veteran DAP Lim Kit Siang akan mengemukakan soalan "Melayu terlebih dahulu atau Malaysia" kepada kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ia adalah soalan yang asalnya ditujukan kepada Muhyiddin Yassin pada tahun 2010.

"Adakah Lim akan mengemukakan soalan yang sama kepada Anwar sekarang? Atau tambahan soalan lain seperti 'Petronas dahulu atau Sarawak dahulu'?" soalnya, merujuk kepada pertikaian antara Petronas milik persekutuan dan Petros milik Sarawak.
Bekas menteri undang-undang itu mengulas kritikan Lim terhadap Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang mendakwa sikapnya "Melayu dahulu" sudah menjadi sejarah dan gabungannya kini mewakili semua rakyat Malaysia.
Zaid menuduh Lim cuba memerangkap Muhyiddin dengan enggan mengakui perubahan pendiriannya.
Katanya, jika Anwar boleh menjawab kedua-dua soalan "Melayu atau Malaysia" dan "Petronas atau Sarawak," barulah Lim mempunyai alasan untuk terus mengasak pemimpin Bersatu itu.
"Tetapi kemungkinan besar kedua-dua soalan ini akan dielak (oleh Anwar), dan Lim akan menerima jawapan tidak langsung daripadanya. Tetapi, tidak akan terima perubahan pendirian Muhyiddin.

"Sekarang kamu tahu mengapa seorang pemimpin Cina menggambarkan DAP sebagai parti ekstrem," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa Lim telah mengemukakan dua soalan tambahan kepada Muhyiddin, termasuk apabila bekas perdana menteri itu menukar pendiriannya.
“Soalan pertama: Bilakah dia berubah daripada ‘Melayu terlebih dahulu, rakyat Malaysia kemudian’ kepada ‘rakyat Malaysia dahulu, Melayu kemudian’.
“Soalan kedua: Adakah dia bersedia memimpin satu kempen untuk menggesa semua rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai warga Malaysia dahulu, kaum kemudian?” soal Lim.
Pada tahun 2010, Lim mencabar Muhyiddin untuk menyatakan sama ada dia melihat dirinya sebagai Melayu atau rakyat Malaysia terlebih dahulu.
Namun, apabila kedua-dua mereka kemudian berkhidmat bersama di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, isu "Melayu dahulu atau Malaysia dahulu" tidak timbul.

Gabungan itu ditumbangkan susulan rampasan kuasa politik yang menggulingkan kerajaan pada 2020, hanya 22 bulan selepas ia ditubuhkan.
Muhyiddin merupakan salah seorang arkitek utama rampasan kuasa itu, yang dirujuk sebagai “Langkah Sheraton”.
Pendirian lama Muhyiddin terus dijadikan bukti kecondongannya yang didakwa bersifat nasionalis etnik.
