Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: Saifuddin istikharah sebelum buat keputusan muktamad
Diterbitkan:  May 5, 2025 2:06 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu dia akan terus membuat "pertimbangan terbaik" dengan tawakal dan istikharah sebelum memutuskan sama ada akan bertanding atau sebaliknya pada pemilihan PKR kali ini.

Menurutnya, dia juga sudah menamatkan hampir keseluruhan proses libat urus dan perbincangan dengan pelbagai pihak dalam parti itu, termasuk sesi panjang bersama timbalan presiden, Rafizi Ramli, dan presiden mereka, Anwar Ibrahim.

Katanya proses itu penting diambilnya sebelum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung percaturannya dalam parti, terutama melihat kepada sejarah 'perlawanannya' selama ini.

"Namun sebagai orang lama dalam PKR, saya lebih banyak melalui episod kekalahan berbanding kemenangan, dan satu perkara yang tetap utuh dalam diri saya ialah khidmat kepada parti tidak harus bersyarat kepada kedudukan.

"Kalah atau menang bukan penentu semangat perjuangan saya," tegasnya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu spekulasi penyertaan Saifuddin itu dalam pemilihan kali ini hangat diperkatakan selepas wujudnya ketidakpuasan hati dalam kalangan kem Rafizi susulan keputusan pemilihan cabang, baru-baru ini.

Sebelum ini, khabar angin tersebar bahawa rasa tidak puas hati terhadap keputusan pemilihan - yang dilihat sesetengahnya sebagai luar jangka - mendorong Rafizi mempertimbang untuk meletakkan jawatan sebagai menteri.

Walaupun Rafizi menang sebagai ketua Cabang Pandan, sejumlah calon lain mengalami kekalahan mengejut. Antaranya Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda Adam Adli Abd Halim, serta ahli MPP Akmal Nasrullah Nasir, Fahmi Zainol, Lee Chean Chung dan Rodziah Ismail.

Situasi itu dikatakan itu membuka ruang dan peluang lebih baik kepada Saifuddin untuk sekali lagi mencuba nasib bagi mencuba menempatkan diri dalam posisi kedua tertinggi PKR.

Saifuddin yang juga anggota Dewan Negara berkata, sememangnya keberadaan dia dalam PKR sejak awal adalah untuk memperkukuh dan memperkuatkan parti itu.

Pada masa sama dia menegaskan bahawa PKR akan berdepan dengan cabaran besar iaitu PRU yang mungkin diadakan dua tahun lagi, justeru ada agenda yang mesti diutamakan.

"Justeru, pemilihan parti kali ini harus menjadi medan penyatuan dan pengukuhan, bukan perpecahan. Parti yang kuat akan menyumbang kepada kerusi yang lebih banyak," katanya.

Tambah Saifuddin, kedudukan PKR yang mantap akan memperkukuh lagi PH dan kerajaan perpaduan, sekali gus memastikan Anwar diposisikan semula sebagai perdana menteri untuk penggal kedua.

"Saya menyokong penuh proses pemilihan parti yang diperuntukkan oleh perlembagaan. Ini adalah ruang demokrasi dalaman yang wajib kita hargai dan raikan.

"Dalam masa empat hari yang berbaki sebelum tarikh tutup pencalonan, saya akan terus membuat pertimbangan terbaik dengan tawakal dan istikharah.

"Insya-Allah, pengumuman rasmi akan saya buat dalam tempoh yang munasabah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS