Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh menyelar Muhyiddin Yassin selepas Presiden Bersatu itu mengatakan dia kini pemimpin semua rakyat Malaysia dan pandangan lamanya mengenai keutamaan identiti Melayu sudah tidak relevan.
Kata Akmal, kenyataan Muhyiddin itu menunjukkan bahawa seseorang itu boleh berubah demi kuasa.
"Tahun 2010 (Muhyidin kata) saya Melayu dahulu sebelum Malaysia. Tahun 2025 (Muhyiddin kata) saya Melayu dulu baru Malaysia tak penting lagi.
"Allahuakbar benarlah kata orang, demi kuasa manusia berubah.
"Moga Allah pelihara perjuangan yang ikhlas demi agama bangsa dan tanah air ini dan lindungi kita dari orang-orang yang menggunakan agama bangsa demi kepentingan diri sendiri.
"Saya tetap Melayu dahulu sebelum Malaysia kerana itu bangsa saya yang tidak boleh diubah dulu, kini dan Insya-Allah selamanya," katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam Muhyiddin ketika berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin dalam Festival Perpaduan India di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam menyatakan komitmen gabungan itu untuk berlaku adil kepada semua kaum.

"Saya adalah orang Melayu Malaysia. Tapi, pemikiran saya tak pernah berfikir saya sebagai Melayu sahaja. Saya perlu mengambil kira orang Cina, India dan lain-lain. Sebab saya adalah pemimpin Malaysia.
"Saya pernah kata saya Melayu terlebih dahulu. Itu tak penting lagi, saya seorang Melayu prihatin dengan semua rakyat Malaysia," katanya melalui program anjuran Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), salah satu komponen PN.
Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan ucapan Muhyiddin pada tahun 2010 yang mengatakan dirinya “Melayu terlebih dahulu”.
"Mana boleh saya kata saya rakyat Malaysia terlebih dahulu dan Melayu di tempat kedua?
“Semua orang Melayu akan bidas saya...dan ini tak betul,” katanya sebagai respos terhadap cabaran veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyoal komitmen terhadap gagasan 1Malaysia.
‘Jangan jadi kaduk naik junjung’
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Akmal semalam membidas Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp, yang mengatakan Malaysia bukan milik eksklusif mana-mana kaum.
Ketua Pemuda Umno itu berkata Yapp tidak seharusnya bersikap seperti ‘kaduk naik junjung’.
“Sebelum buat kenyataan yang sebegini, fahamkan sejarah dan asas pembentukan negara terlebih dahulu
“Jangan jadi kaduk naik junjung
“Selamanya ini (Malaysia) adalah tanah Melayu dan tidak akan berubah perkara tersebut,” katanya.
Dalam hantaran itu Akmal meneybut Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan Artikel 153 yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga kedudukan istimewa 'Melayu' dan penduduk asli mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain.