Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Adun DAP sanggah Akmal: Malaysia milik semua, bukan hanya Melayu
Diterbitkan:  May 5, 2025 4:14 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee menyanggah kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh baru-baru ini, dengan menegaskan bahawa Malaysia adalah milik semua rakyatnya, dan bukan hanya orang Melayu.

Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha publisiti DAP Melaka itu berkata Akmal tersilap menggunakan peruntukan perlembagaan untuk menolak tanggapan bahawa Malaysia dimiliki oleh semua rakyat negara ini.

“Dr Akmal telah keliru apabila menggunakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai justifikasi bagi menentang naratif bahawa Malaysia dimiliki oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Kerk, Akmal yang juga adalah ahli exco Melaka memetik Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebngsaan, dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa Melayu dan penduduk asli ngeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain.

“Tiada pihak yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, malah ia harus dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia atau parti politik.

“Walaubagaimanapun, ia tidak bercanggah dengan fahaman bahawa Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia - Melayu, Cina, India, Orang Asli, rakyat Sabah dan Sarawak, dan setiap warganegara yang menjadikan negara ini sebagai tanah air mereka.

“Prinsip kewarganegaraan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak memilih kaum, agama atau wilayah. Setiap warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama untuk merasa bangga, dilindungi dan diterima sebagai sebahagian daripada negara ini,” katanya yang juga adalah timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Melaka.

Dalam hantarannya itu, Akmal turut memberi amaran kepada bangsa lain supaya tidak menjadi seperti “kaduk naik junjung”, iaitu simpulan bahasa Melayu merujuk kepada seseorang yang menjadi sombong atau angkuh selepas mendapat kuasa atau status.

Mengulas lanjut, Kerk mengingatkan Akmal bahawa patriotisme yang sebenar terletak pada perpaduan, bukan perpecahan.

“Pemimpin harus membina jambatan, bukan membakar sempadan. Kekuatan terbesar Malaysia adalah pada kepelbagaian kita - dan kemajuan bersama hanya boleh dicapai melalui saling hormat, saling melindungi dan saling memperkasa,” katanya lagi.

Akmal pada mulanya hanya bertindak mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama, MCA Roger Yapp, yang menyatakan bahawa Malaysia bukan milik satu kaum secara eksklusif.

Susulan itu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon tampil mencabar DAP supaya mengambil pendirian terhadap kenyataan Akmal.

"MCA telah pun menjelaskan pendiriannya - bahawa Malaysia adalah milik semua rakyatnya.

“Bagaimanapun, MCA kini lemah dan suaranya tidak begitu dipedulikan, malah diketepikan.

“Dulu, DAP akan menjadi orang pertama yang melangkah ke hadapan untuk mempertahankan kepelbagaian, jadi mengapa diam sekarang?” soal Chong dalam catatan di Facebook hari ini.

Katanya, DAP, dengan 40 kerusi parlimennya, harus lantang bersuara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS