Kira-kira 30 peratus doktor di Malaysia tergolong dalam kategori B40, bercanggah dengan tanggapan umum bahawa doktor adalah golongan kaya, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Bakal presiden MMA Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, walaupun masyarakat melihat pengamal perubatan sebagai kaya, hakikatnya sebilangan besar daripada mereka merupakan golongan berpendapatan rendah, berdasarkan kajian yang dijalankan pada 2018 melibatkan 1,800 orang doktor.
“Kita dapati hanya 10 peratus yang benar-benar berjaya dari segi ekonomi. Manakala doktor dalam kategori B40 pula hampir 30 peratus. Lagi 30 peratus hanya cukup makan... Kita ada data ini,” kata Thirunavukarasu dalam ucapannya semasa protes doktor di Putrajaya hari ini.
Dia menyatakan baki 30 peratus doktor yang lain sebagai dalam keadaan tersepit dari segi kewangan.

Hari ini Thirunavukarasu mengetuai protes menentang pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025 oleh kerajaan yang berkuat kuasa pada 1 Mei.
Selepas bercakap kepada media, dia bersama beberapa wakil persatuan perubatan lain masuk ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum yang mengandungi keluhan mereka.
Perintah papar harga
Perintah Pemaparan Harga Ubat yang diperkenalkan kerajaan disifatkan sebagai langkah penting dalam meningkatkan ketelusan dan memperkukuhkan hak pengguna, sekali gus memberi ruang kepada mereka membuat pilihan ubat berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.
Bagaimanapun, minggu lalu, pengamal perubatan swasta mendakwa pihak berkuasa melakukan "pengkhianatan" selepas laporan mengatakan penguatkuasaan perintah itu telah bermula, walaupun pada mulanya dinyatakan tempoh bertenang (grace period) akan diberikan.
Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) melaporkan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mula memeriksa klinik dan mengeluarkan notis tiga hari untuk klinik mempamerkan harga ubat atau berdepan tindakan undang-undang.
Ini bertentangan dengan jaminan yang diberikan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali, bahawa fasa awal pemantauan dan penguatkuasaan akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan secara berfasa untuk tempoh tiga bulan.
Presiden FPMPAM Dr Shanmuganathan TV Ganeson minggu lalu menuntut agar pemeriksaan yang bersifat menghukum dihentikan serta-merta sehingga garis panduan yang jelas diwujudkan dan satu arahan yang sah dari segi undang-undang mengenai tempoh bertenang dikeluarkan.

Pakar undang-undang yang dipetik oleh portal berita kesihatan CodeBlue semalam pula berkata Kementerian Kesihatan tiada kuasa yang sah untuk menguatkuasakan perintah paparan harga ubat, yang terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Armizan.
Mereka berkata Armizan - yang mewartakan perintah itu - tidak boleh memindahkan kuasa penguatkuasaan di bawah Seksyen 3 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) kepada Dzulkefly.
Seksyen 3 Akta 723 secara khusus memberi kuasa kepada menteri untuk melantik pengawal harga dan pegawai penguat kuasa daripada kalangan penjawat awam.
Peguam Manmohan S Dhillon memberitahu CodeBlue bahawa Kementerian Kesihatan bagaimanapun boleh memberikan “bantuan teknikal” kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam menguatkuasakan syarat kepada kemudahan kesihatan swasta dan farmasi komuniti untuk memaparkan harga ubat.
Dia juga menjelaskan yang mandat untuk memaparkan harga ubat tidak boleh dikeluarkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.
“Undang-undang itu (Akta 586) hanya merangkumi jadual bayaran, tetapi tidak memperuntukkan paparan harga ubat,” kata Manmohan ketika mengulas seruan daripada persatuan doktor agar profesion perubatan dikawal selia melalui Akta 586, bukannya Akta 723.
