Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwaan tarik balik rayuan kes peserta nyala lilin Covid-19
Diterbitkan:  May 7, 2025 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan pembebasan oleh mahkamah rendah terhadap peserta dalam acara nyalaan lilin bagi mengenang mangsa Covid-19 pada 2021.

Menurut setiausaha sayap wanita DAP Selangor, Nalina Nair, pihak pendakwaan membatalkan rayuannya hari ini selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 2023 memutuskan kes prima facie belum diwujudkan.

Pada 2021, Nalina dan Sujatra Jayaraj dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 berhubung penahanan mereka semasa perhimpunan itu.

Seksyen 90 Akta Polis menyatakan bahawa "mana-mana orang yang berkelakuan rusuh, lucah, tak senonoh atau aib di balai polis adalah melakukan suatu kesalahan di bawah akta ini."

Mereka berdepan denda tidak melebihi RM500, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mengulas keputusan pihak pendakwaan untuk menggugurkan rayuan, Nalina berkata keputusan itu mengesahkan kepercayaan bahawa penahanan dan pertuduhan terhadap mereka adalah "tidak adil dan bermotifkan politik."

"Berkabung secara aman bukan satu jenayah. Perbezaan pendapat bukanlah kekacauan.

"Hakikat bahawa kami didakwa menimbulkan persoalan serius tentang bagaimana budi bicara pendakwaan dilaksanakan dan sama ada ia disalahgunakan untuk menyekat ekspresi demokrasi," katanya dalam catatan media sosial.

Mengulangi bahawa kebebasan berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, dia mengingatkan bahawa kepercayaan awam akan terjejas jika polis bertindak secara wewenang dan undang-undang diperalat untuk menakut-nakutkan.

“Polis mesti memikirkan secara mendalam cara ini dikendalikan.

"Tangkapan dan pertuduhan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk mengganggu rakyat yang membela keadilan, belas kasihan dan akauntabiliti," tambah Nalina.

Nalina dan Sujatra adalah antara 31 peserta acara nyalaan lilin pada 19 Ogos 2021 yang dibawa ke balai polis Dang Wangi untuk "tujuan dokumentasi".

Bagaimanapun, mereka kemudiannya ditahan dan dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang – berjumlah RM62,000 – kerana melanggar peraturan menghalang demonstrasi semasa pandemik Covid-19 dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

Beberapa peserta sejak itu telah memulakan tuntutan sivil terhadap polis atas dakwaan tangkapan yang salah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS