Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar rasa saya perlu tanding timbalan presiden - Rafizi
Diterbitkan:  May 7, 2025 1:59 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Rafizi Ramli mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pemimpin pusat parti itu Saifuddin Nasution Ismail mahu dia mempertahankan jawatan timbalan presiden.

Rafizi berkata perkara itu dinyatakan selepas dia mengadakan dua pertemuan dengan Anwar dan sekali dengan Saifuddin – yang disebut-sebut berpotensi mencabarnya.

“Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding timbalan presiden dan menjadi sebahagian daripada kabinet.

“Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” katanya.

Dedah Rafizi, dalam pertemuan dengan Anwar sebelum ini, dia menyatakan kesediaan untuk tidak bertanding mempertahankan jawatan timbalan presiden dan tidak menyertai kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi.

Ahli Parlimen Pandan itu menambah, kebimbangannya berkisar kepada keadaan semasa kempen kerajaan yang dilihat terlalu bertahan dan tidak menyerang seperti semasa menjadi pembangkang.

“Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU ke-16,” katanya.

Saifuddin Nasution Ismail

Rafizi berkata kedudukannya sebagai menteri menyebabkan dia terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan untuk bersuara lebih bebas seperti sebelum ini.

“Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen PKR yang dilihat tidak agresif,” katanya.

Rafizi juga berkata dia telah menyuarakan perkara yang sama kepada Saifuddin dan menyatakan kesediaan untuk memberi laluan dalam persaingan bagi jawatan nombor dua dalam PKR.

Semalam, seorang pemimpin cabang PKR mencadangkan agar Rafizi memberi laluan kepada Saifuddin untuk menjadi timbalan presiden parti dalam pemilihan kali ini.

Boleh kembali lincah berkempen

Ketua PKR Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman membangkitkan pengalaman Saifuddin mengharungi “jatuh bangun” PKR serta spekulasi Rafizi ingin meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden parti dan tindakannya mengambil cuti daripada jawatan Menteri Ekonomi.

“Sebagai pemimpin senior yang sangat berpengalaman mengharungi jatuh bangun parti, saya yakin sudah sampai masa dia diberi laluan mudah untuk membantu Anwar Ibrahim mengemudi PKR sebagai orang nombor dua.

“(Sementara itu) Spekulasi perletakan jawatan Rafizi sebagai timbalan presiden dan percutiannya dari jawatan menteri sedikit sebanyak menimbulkan keresahan dalam kalangan anggota parti khususnya dan kerajaan perpaduan amnya.

“Saya yakin kompromi antara dua tokoh hebat ini akan melonjakkan sokongan rakyat dan keyakinan terhadap PKR seterusnya mengekalkan kestabilan politik dalaman parti,” kata Syed Badli Shah.

Sementara itu, Rafizi berkata dia menyambut baik hasrat Nurul Izzah Anwar dan Saifuddin untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti berkenaan tidak lama lagi.

Nurul Izzah Anwar

Pada masa sama Rafizi menegaskan dia akan terus menjalankan tugas sebagai timbalan presiden jika terpilih sekali lagi, dan menjadi ahli yang aktif berkempen di bawah seandainya tidak terpilih.

"Apa pun pilihan yang diambil perwakilan parti, ia membuka ruang kepada saya menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi PRU ke-16.

"Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai timbalan presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.

"Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah," kata Rafizi lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS