Penduduk Kampung Sungai Baru hari ini mengemukakan dua permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur berhubung tanah di petempatan di tengah Kuala Lumpur itu.
Peguam Lawyers for Liberty (LFL) dan Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, N Surendran, berkata permohonan melibatkan status tanah di penempatan terbabit dibuat berdasarkan dokumen rasmi dan peta menunjukkan ia kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS) iaitu tanah rizab Melayu.
“Kami hadir untuk menyerahkan permohonan supaya PTG dapat menjalankan satu siasatan atas status tanah di Kampung Sungai Baru. Pemohon menyatakan bahawa tanah mereka bukan tanah pajakan 99 tahun tetapi sebenarnya adalah tanah rizab Melayu.
“Oleh kerana fakta ini tidak tertulis dalam geran, kami mahu PTG menjalankan siasatan di bawah Bab 4 Kanun Tanah Negara bagi menentukan status tanah itu adalah tanah MAS," katanya kepada pemberita di pekarangan agensi itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Permohonan kedua pula, kata Surendran, adalah terhadap tanah penduduk yang belum diambil dan pemiliknya mahu menuntut hak mereka sebagai tanah rizab Melayu.
Mengulas lanjut, Surendran berkata PTG Kuala Lumpur perlu memproses permohonan penduduk dan menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
Katanya ia penting kerana siasatan itu akan memberi impak ke atas semua tanah di Kampung Sungai Baru.
Surendran berkata isu status tanah itu mula dibangkitkan sejak Dis tahun lalu namun, dakwanya, tidak ada reaksi atau jawapan daripada pihak kerajaan.

Kerana itu, katanya, penduduk terbabit memulakan proses perundangan secara rasmi dengan menghantar permohonan kepada PTG Kuala Lumpur pada pagi tadi.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias, berkata daripada keseluruhan 220 hektar tanah di Kampung Baru - termasuk Kampung Sungai Baru - sebahagiannya telah diisytiharkan sebagai MAS melalui Warta No 1550 bertarikh 16 Feb 1932.
Menurut Zainab, jika benar tanah Kampung Sungai Baru merupakan kawasan MAS pihaknya mahu kerajaan membangunkan semula petempatan berenaan.
“Kami juga mahu hak pemilikan, sebab di sini ada dua status.
"Satu, rumah teres; dan satu lagi, rumah flat. Rumah flat kebanyakannya sudah dirobohkan.
"Kalau betul ini tanah MAS, kami minta kerajaan bangunkan semula di tapak yang berkenaan, rumah-rumah flat tersebut, kembalikan orang-orang asal yang duduk di situ," katanya.

Tuntutan ketiga mereka, kata Zainab, ialah agar rumah teres yang terlibat dengan pengambilan tanah diberikan hak pemilikan semula kepada pemilik asal serta dinyatakan ia tanah MAS, bukan pajakan 99 tahun.
Seorang lagi peguam yang hadir, Latheefa Koya, berkata pihaknya mahu kerajaan mendengar apa sebenarnya yang dituntut penduduk Kampung Sungai Baru.
“Jangan kita perlekehkan dengan mengatakan mereka ini menolak pembangunan, kononnya mereka tinggal di rumah flat yang ada satu bilik sahaja, kemudian tidak mahu rumah kondominium yang cantik dan lebih besar.
“Itu adalah cara mengelak daripada mengiktiraf isu yang sebenarnya.
"Isu sebenarnya adalah jelas iaitu mereka pun mahu pembangunan tetapi hak mereka tidak harus dinafikan, dan mereka berhak memastikan tanah mereka diiktiraf sebagai tanah MAS kerana itu akan menunjukkan nilai tanah sebenar," katanya.
Untuk rekod, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru — yang merangkumi rumah teres dan flat — mencetuskan perdebatan apabila segelintir penduduk membantah pampasan yang dianggap tidak setimpal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, sebelum ini menjelaskan di parlimen, pembangunan tersebut hasil rundingan bersama antara pemilik dan pemaju tanpa paksaan atau tekanan.
