Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bercuti demi parti: Pemuda Bersatu gesa Rafizi lepas jawatan menteri
Diterbitkan:  May 7, 2025 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Pemuda Bersatu (Armada) mengecam pengakuan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengambil cuti bagi menangani aduan yang timbul daripada pemilihan PKR, ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi.

Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, tindakan Rafizi menunjukkan keutamaannya kepada parti lebih besar daripada negara.

"Tindakan ini secara terang-terangan menunjukkan keutamaan beliau (Rafizi) lebih besar kepada parti daripada amanah terhadap negara dan rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Harris menegaskan, sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi sepatutnya lebih peka terhadap empat cabaran utama dihadapi negara ketika ini – termasuk perang ekonomi global, tindakan tarif balas Amerika Syarikat terhadap Malaysia, kenaikan harga barang yang tidak terkawal serta pelaksanaan subsidi bersasar yang masih belum dijelaskan secara menyeluruh.

"(Namun) Rafizi memilih untuk fokus menyelesaikan perebutan kuasa dalaman PKR bukan menguruskan krisis yang menekan kehidupan rakyat," kata Harris.

Terdahulu, Rafizi menjelaskan bahawa dia mengambil cuti daripada tugas rasmi baru-baru ini bagi menangani isu dan aduan berhubung pemilihan PKR.

Timbalan presiden PKR itu berkata dia telah mengemukakan permohonan cuti kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi meredakan keadaan di peringkat akar umbi PKR, tanpa mengambil kira pihak yang membuat bantahan berhubung keputusan pemilihan parti itu.

Menurut Rafizi dia berbuat demikian bagi mengasingkan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti politik dari tugasan rasmi seorang menteri.

"Masa yang diperlukan adalah panjang. Sewajarnya, kerja-kerja mengurus parti yang memerlukan masa khusus seperti ini tidak dicampuradukkan dengan tugas dan masa sebagai seorang menteri.

"Bagi saya, mengasingkan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti politik dari tugasan rasmi seorang menteri adalah satu budaya politik baru yang wajar kita semai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pemuda Bersatu menggesa Rafizi supaya melepaskan jawatan sebagai anggota Kabinet bukannya bercuti sementara.

Katanya, negara memerlukan pemimpin yang setia kepada rakyat bukannya parti.

"Jika jawatan menteri dianggap penghalang kepada kerja politik, maka lebih wajar Rafizi meletakkan jawatan sepenuhnya, bukan bercuti sementara demi mengatur strategi perebutan jawatan Timbalan Presiden.

"Negara perlukan pemimpin yang setia kepada rakyat, bukan hanya kepada partinya," katanya lagi.

Tambah Harris, pihaknya turut kesal dengan tindakan Rafizi itu yang mengutamakan parti sehingga tidak menghadiri sidang khas Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS