ULASAN | Perkembangan terbaru pemilihan PKR nampaknya memberi tekanan yang bukan sahaja menguji daya fikir seluruh ahli, bahkan Anwar Ibrahim selaku presiden parti harus membuat pertimbangan dari segenap sisi organisasi.
Apabila anaknya yang digelar Puteri Reformasi dicadangkan untuk diangkat sebagai orang nombor dua PKR, ada pelbagai kemungkinan boleh dijangka, sama ada mudah atau sukar.
Dalam situasi ini, Anwar bukan hanya perlu berhati-hati menguruskan apa yang sedang berkembang.
Ia tidak semestinya seperti menarik rambut di dalam tepung, bahkan kemungkinan dia tidak perlu pun untuk menarik rambut itu sebaliknya membiarkan ia seadanya.
Sebagai parti yang tumbuh semula jadi dengan lipatan sejarah perjuangan panjang dan kini bertakhta di Putrajaya, PKR menjadi pusat pandangan segenap mata masyarakat.
Walaupun isu kompleks yang berlaku hanya melibatkan organisasi parti, ia secara tidak langsung turut dibayangi dengan prestasi kerajaan semasa yang sedang dipimpin Anwar.
Ia berbeza ketimbang ketika PKR menjadi pembangkang sebelum ini apabila mereka gigih berjuang untuk memperkasakan parti bagi mencorakkan gerakan itu sebagai kerajaan menanti.
Kali ini 'perjuangan' Anwar, anaknya dan seluruh ahli PKR bukan sekadar memperkasakan parti, bahkan mempertahankan keyakinan rakyat agar melihat parti itu memang layak menjadi pentadbir negara.
Cara kronisme dibidankan
Anwar perlu amat berhati-hati dengan langkah 'ketimbung' yang bakal diambilnya kali ini. Jika menepuk air di permukaan dulang, sudah tentu air akan terpercik.
Paling malang, jika percikan itu menerpa ke muka sendiri.
Jika benar Nurul Izzah bersetuju menjadi calon Timbalan Presiden PKR, salah satu cabaran yang bakal didepani ialah dilabel dengan amalan kronisme atau amalan nepotisme.
Ia bukan cuma menjadi modal yang sedap untuk musuh-musuh politik PKR. Ia malah mengingatkan sesetengah orang bahawa amalan itulah yang pernah ditentang bermati-matian oleh Anwar dan penyokongnya suatu masa dulu.
Cuma dalam amalan politik Malaysia sejak zaman berzaman, penguasaan hierarki dan legasi dalam organisasi politik dalam kalangan orang terdekat kepada pemimpin bukanlah sesuatu yang asing.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hampir semua pemimpin utama parti politik di negara ini pernah melakukan 'dosa' itu.

Apa yang membezakan setiap seorang daripada mereka hanyalah kadar amalan 'kronisme' itu dibidankan.
Dalam PKR, walaupun amalan kronisme itu - jika ia boleh dianggap kronisme - pernah berlaku namun langkah yang diperkirakan itu membawa hasil yang signifikan.
Malah sifir itulah yang membawa PKR - serta gabungannya menguasai Putrajaya.
Jangan lupa, suatu masa dahulu PKR dipimpin oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar. Sebagai presiden wanita itu menggalas tugasnya yang berat untuk menempuh pelbagai rintangan.
Di sisi 'Kak Wan' itulah Nurul Izzah mendampingi. Rakyat melihat sendiri tumpahnya keringat dan air mata si ibu serta si anak mendepani pelbagai , mehnah dan tribulasi.
Gandingan anak, bapa
Akhirnya, Wan Azizahlah membawa mengemudi PKR untuk menjadi kerajaan persekutuan. Tidak dinafikan di sebalik sosok dua wanita itu, ada Anwar.
Justeru Wan Azizah dan Nurul Izzah adalah menjadi titik tolak keberadaan Anwar sekarang.
Begitu juga dalam parti-parti utama lain di Malaysia. Penglibatan regu ayah-anak dalam struktur pentadbiran parti menjadi amalan umum.
Sudah tentu ia dihujahkan dengan dalil tiket demokrasi dan kebebasan memilih.
Mari kita berundur sedikit ke belakang. Ketika ada Dr Mahathir Mohamad, kita juga ada Mukhriz Mahathir. Mereka bergandingan sejak dalam Umno sebelum langkahnya dipanjangkan ke dalam Bersatu, sebelum dilengkapkan pula oleh Pejuang.

DAP pula menampilkan beberapa contoh dengan gandingan Lim Kit Siang - Lim Guan Eng sebagai yang paling ketara. Sesudah itu, ada pula Lim Hui Ying.
Dari perut PAS pula kita melihat regu Nik Abdul Aziz Nik Mat - Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz serta Abdul Hadi Awang - Muhammad Khalil Abdul Hadi. Cuma barangkali ia tidak dipersoalkan sangat oleh ahli parti kerana setiap satu keputusan dibuat ia disandarkan kepada dalil-dalil yang sangat kukuh.
Jika akhirnya Nurul Izzah dijulang sebagai timbalan presiden parti sekali gus timbalan papanya, kita mesti yakin bahawa ia berlaku dengan proses demokrasi, bukan lantikan yang dibuat Anwar dengan wewenangnya.
Justeru, pimpinan PH seperti Hassan Abdul Karim tidak perlu menulis sajak-sajak perjuangan, atau aktivis-aktivis reformasi tidak perlu lagi berbagi garam di jalanan.
Akhirnya kita perlu mengurut dada dan secara sedar mengakui dakwaan nepotisme dalam politik kepartian ini bukanlah modal ampuh sangat untuk dijadikan peluru serangan.
Diterjemah pada kertas undi
Paling kuat pun, pihak yang diserang itu akan 'geger' sebentar saja sebelum suasana kembali tenang. Lainlah kalau ia ia ditentang secara dalaman.
Maka, jika Nurul Izzah melangkah ke gelanggang pertarungan kerusi nombor dua PKR hasil jasa sokongan yang membuak-buak dari segenap ruang itu, tidak mustahil PKR akan mencipta sejarah tersendiri.
Rasanya inilah kali pertama sebuah parti dipimpin oleh gandingan orang nombor satu dan dua yang datang dari bawah bumbung yang sama.
Siapa tahu dengan langkah Nurul Izzah itu PKR akan lebih berjaya.

Misalnya mereka lagi tidak perlu bergantung kepada sokongan BN atau mana-mana parti lain untuk membentuk kerajaan pada masa akan datang.
Sayugia diingatkan bahawa Anwar sebelum ini mengungkapkan betapa penyandang Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, perlu diberi laluan supaya terus menggalas posisi itu.
Walaupun secara demokrasi ungkapan perdana menteri itu boleh dilanggar, ia tetap perlu dijadikan penanda aras dan isyarat yang akhirnya akan diterjemah ahli parti di atas kertas undi.
Kemunculan sokongan bertalu-talu untuk Nurul Izzah itu sudah pasti mengganggu fokus Rafizi, selain turut memberi debar kepada Saifuddin Nasution Ismail yang turut dikatakan mencatur gerak ke posisi sama.
Namun, sudah tentu agak menarik untuk melihat dimensi baru sudut pandang anggota parti sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru di kerusi nombor dua itu.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang lebih berminat melihat Nik Amar Abdullah menjadi Presiden PAS.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
