Wanita yang dijumpai mati selepas jatuh dari sebuah van yang sedang bergerak di Lebuhraya Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Selasa lalu sebelum itu dilaporkan bertengkar dengan suaminya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, mereka bertengkar apbila suami itu menegur isterinya yang menggunakan van tersebut tanpa lesen.

"Asal mereka ni gaduh suami isteri, gaduh pasal penggunaan van, isteri tak ada lesen dan kenderaan tu terbabit kemalangan, mereka bergaduh dalam kereta.
"Kemudian dia (isteri) kata dia nak terjun (dari kereta)... (kemudian) dia terjun," kata Rusdi dalam satu sidang media di Kuala Lumpur petang tadi.
Mangsa berusia 44 tahun yang berasal dari Ipoh itu jatuh di jalan berhampiran kawasan rehat dan rawat Awan Besar dan maut di tempat kejadian.
Rusdi berkata suaminya tidak memberhentikan kenderaan selepas kejadian itu.
Sebaliknya, lelaki tersebut yang mempunyai tiga orang anak dengan si mati, terus memandu pulang ke rumah dan bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Dia berkata, polis yang mendapat panggilan kecemasan berhubung perkara itu daripada orang awam pada 2.58 petang kemudian mengesan suami mangsa bagi memaklumkan tentang kematian isterinya itu.
Suspek ditahan pada 6 petang hari yang sama dan direman dari Khamis hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian secara tidak sengaja.
“Dia sepatutnya sekurang-kurangnya memperlahankan kenderaan apabila isterinya berkata dia mahu terjun.
“Dan selepas kejadian, dia sepatutnya berhenti di situ, bukannya terus memandu pulang,” katanya.
Ujian air kencing terhadap suspek juga katanya, mendapati lelaki itu positif dadah jenis methampetamine, benzo dan amphetamine.

Pesuruhjaya polis itu menyatakan bahawa siasatan bergantung kepada laporan kecederaan mangsa dan kenyataan suaminya kerana tiada CCTV di lokasi kejadian.
Pada 6 Mei lalu, seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah van di tepi Lebuhraya Kesas.
