PH dan BN mencapai kata sepakat untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sektretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan bersama hari ini.
Mereka berkata persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan semalam.
“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepimpinan PH dan BN Sabah.
“Segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat kebangsaan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan BN Sabah mengesahkan akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi DUN pada PRN ke-17 yang dijangka diadakan akhir tahun ini.
Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir dilaporkan berkata baki 33 kerusi lagi akan diberikan kepada PH.
Bagaimanapun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini turut dilaporkan akan berbincang dengan PH berhubung kerjasama dalam PRN.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS Hajiji Noor urut membayangkan bahawa gabungan itu akan mengekalkan kerjasama dengan PH, dengan BN turut menyuarakan hasrat serupa.
Hajiji menegaskan sebarang keputusan berkaitan kerjasama dalam pilihan raya akan ditentukan oleh parti atau gabungan yang menerajui kerajaan sedia ada.
“Kerajaan negeri adalah GRS-PH Plus, ini jelas tapi dalam politik kita cari satu kebaikan yang boleh menyatupadukan rakyat, kita mahu ada kestabilan politik di Sabah.
“Bagaimanapun pintu kita tidak tutup untuk mereka yang mahu bekerjasama dengan kita. Tapi perlu diingat bahawa kerajaan hari ini adalah GRS-PH Plus, jadi kita yang tentukan siapa rakan kita dalam pilihan raya nanti," katanya bulan lalu.
