Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Tiada sesalan’ - Anak Tommy Thomas tetap perjuang Palestin walau kalah pilihan raya
Diterbitkan:  May 9, 2025 11:17 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Wakil Parti Hijau Australia, Hannah Thomas berkata dia tidak menyesal memperjuangkan isu Palestin ketika bertanding menentang Perdana Menteri Anthony Albanese dalam pilihan raya yang baru sahaja berakhir.

“Kempen kami tegas dan tidak apologetik dalam menyokong Palestin dan akibatnya kami terpaksa berdepan pelbagai serangan media milik (Rupert) Murdoch. Namun, semua itu tidak menggugat pendirian kami.

“Saya tidak akan menyesal atas apa yang saya katakan atau lakukan untuk Palestin, saya hanya akan menyesal jika tidak melakukan yang secukupnya.

“Saya mempunyai keyakinan moral sepenuhnya bahawa kami berada di pihak yang benar dalam sejarah, manakala parti-parti besar tidak, dan Palestin akan merdeka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah merupakan anak kepada bekas peguam negara Malaysia, Tommy Thomas.

Minggu lalu, Albanese yang juga ketua Parti Buruh Australia menang besar dalam pilihan raya dan dipilih semula sebagai perdana menteri selepas memenangi kerusi Division of Grayndler.

Menurut laporan BBC, Albanese berjaya mengatasi pencabar utamanya, Peter Dutton dari Parti Liberal Nasional Queensland, yang kalah di kerusi Division of Dickson yang telah disandangnya selama 24 tahun.

Parti Hijau cipta gelombang

Mengkritik Albanese, Hannah mengingatkannya bahawa Israel kini merancang untuk merampas keseluruhan Gaza, sementara kerajaan Australia terus berdiam diri.

Dia turut mengingatkan bahawa walaupun mereka kalah, Parti Hijau berjaya memperoleh jumlah kerusi yang cukup dalam Senat Australia untuk menjadi “kuasa penentu tunggal”.

Istilah itu merujuk kepada kedudukan sebagai “penentu undi” di mana seorang senator atau parti ada kuasa untuk menentukan sama ada mana-mana perundangan berjaya diluluskan atau tidak. 

“Kerajaan Albanese seharusnya melihat keputusan pilihan raya ini sebagai mandat untuk melaksanakan reformasi yang tulen, berani dan progresif.

“Kita tidak mampu untuk menanggung tiga tahun lagi pembukaan projek arang batu dan gas dalam krisis iklim, peningkatan harga rumah dalam krisis perumahan, dan penyelesaian bersifat kosmetik dalam krisis kos sara hidup.

“Kita semua perlu berperanan untuk mempertanggungjawabkan mereka di Parlimen dan lebih penting lagi, di lapangan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS