Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tolak formula 14+14: Akmal bawa politik samseng, angkuh - Pemuda DAP
Diterbitkan:  May 9, 2025 11:59 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

Pemuda DAP (Dapsy) hari ini mempertahankan cadangan parti itu agar pembahagian kerusi di Melaka dibuat secara sama rata antara BN dan PH daripada 28 kerusi DUN.

Naib Ketuanya, Liinesh Selluandan turut menyelar Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang didakwanya memperlekeh suara rakyat dengan gaya politik “samseng dan angkuh” apabila menolak cadangan itu.

Menurut Liinesh, cadangan tersebut bukan keputusan rasmi DAP Melaka atau PH Melaka, sebaliknya ia adalah suara akar umbi.

"Rundingan kerusi hanya akan dibuat oleh kepimpinan parti secara rasmi apabila tiba waktunya.

"Malangnya, Dr Akmal memilih untuk menyerang suara akar umbi kami dengan gaya politik samseng dan penuh keangkuhan. Beliau bukan Presiden Umno, bukan Pengerusi BN, dan jauh sekali jurucakap rasmi Kerajaan Perpaduan.

“Siapa beliau untuk bertindak seolah-olah beliau boleh menentukan segalanya?” kata Liinesh atau lebih dikenali sebagai Harish.

Semalam Akmal menolak cadangan DAP selepas China Press melaporkan bahawa sembilan cawangan parti itu di Melaka sebulat suara meluluskan resolusi menyokong strategi “14+14” untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Jika cadangan itu diterima, ia bermakna BN perlu menyerahkan beberapa kerusi yang telah dimenanginya kepada PH.

"Jawapan saya kepada DAP mudah sahaja. Dulu rundingan kerusi semasa PRN enam negeri kamu cukup susah nak berikan kerusi kamu yang menang kepada BN ketika itu.

"Kali ini senang-senang sahaja nak kerusi yang kami dah menang. Maka kerusi yang BN menang tidak akan sama sekali untuk diberikan kepada PH.

"Jika nak juga, kita bertanding di tempat yang sama. Mudah sahaja. Untuk beri kamu, tidak sama sekali, dan boleh teruskan bermimpi,” kata Akmal.

Mengulas lanjut, Harish berkata jika Akmal tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, dia boleh membawa usul balas dalam mesyuarat agung cawangannya.

"Itu cara demokrasi. Tetapi jika memilih untuk mencemuh dan menengking, maka beliaulah sebenarnya yang mencemarkan semangat perpaduan nasional,” katanya.

‘Cadangan berasaskan mandat’

Dia juga mengingatkan Akmal bahawa BN kalah semua kerusi Parlimen di Melaka pada PRU lalu.

"Di kerusi seperti Alor Gajah - yang dulunya kubu kuat BN - calon Umno sendiri tewas kepada PH.

"Ini membuktikan bahawa undi rakyat Malaysia secara jelas telah menolak politik lama yang dibawa oleh Umno.

Justeru, katanya, apabila ada usul mencadangkan strategi 14BN + 14PH, ia dibuat berasaskan data dan mandat terkini rakyat.

"DAPSY Malaysia akan terus mempertahankan suara akar umbi, prinsip demokrasi, dan politik matang. Kami tidak tunduk kepada ugutan mahupun nada samseng.

“Daripada membuang masa menyerang usul orang lain, lebih baik fokus kepada rakyat, hormati suara mereka, dan hentikan politik ego lama," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS