DAP hari ini menyatakan rasa kurang senang dengan istilah "jinak" yang digunakan Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub bagi menggambar hubungan baik antara dua parti itu.
Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa Pemuda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Steven Tiw, berkata DAP sebaliknya sentiasa menunjukkan sikap hormat-menghormati terhadap parti komponen kerajaan perpaduan.
"Kenyataan Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha berkata DAP semakin jinak adalah tidak sesuai dan betul.
"Kenyataan sedemikian hanya akan memberi peluang kepada parti lawan mentafsir secara negatif dan cuba memusnahkan kerjasama parti-parti komponen kerajaan perpaduan khususnya Umno-DAP.
"Biarlah PAS rasa cemburu atau menyesal, yang utama adalah menjaga keharmonian parti komponen kerajaan perpaduan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Oleh itu katanya, DAPSY berharap setiap lapisan pimpinan Umno dapat mengambil langkah yang proaktif untuk menyemai semangat perpaduan di antara semua parti komponen kerajaan perpaduan khususnya Umno-DAP bagi memudahkan persiapan menghadapi PRU-16.

"Sejak penubuhan DAP pada tahun 196 sehingga hari ini, DAP memegang prinsip semangat kekitaan dalam apa jua kerjasama dan kekal berjuang untuk rakyat Malaysia seperti ternyata dalam lirik lagu parti DAP," tambahnya.
Semalam, Setiausaha Agung Veteran Umno itu mendedahkan apa yang menurutnya sebagai motif sebenar di sebalik tumpuan berterusan PAS terhadap kerjasama Umno dengan DAP.
Namun kenyataannya seperti bernada negatif terhadap DAP dan menggambarkan parti itu tidak lagi setegas dahulu.
“PAS telah berusaha menjinak kuda liar DAP selama ‘berPASDAP’’ dalam satu kandang. Tapi PAS tidak mampu menunggang DAP kerana PAS suka ‘masuk dari belakang’ sehingga ditendang oleh kuda liar itu. Akhirnya PAS mengundur diri dan keluar kandang.
“Hari ini kuda liar yang hampir jinak itu bersama Umno dan ia semakin jinak dalam kandang BN-PH,” katanya seperti dipetik portal Umno Online.
Sementara itu, nada sama juga disuarakan Adun Astaka, Jason Ng yang menyifatkan kenyataan Mustapha sebagai mengelirukan dan angkuh.
Katanya, kerjasama yang terjalin antara parti dalam kerajaan perpaduan adalah atas dasar kerjasama dan menolak tanggapan DAP dijinakkan Umno.
"Justeru, semua parti komponen dalam kerajaan ini berdiri atas prinsip saling menghormati, rundingan secara setara dan bekerjasama demi kepentingan negara. Maka, tiada asas langsung untuk mengatakan bahawa DAP telah “dijinakkan”.
“Apa-apa usaha untuk memesongkan kerjasama politik yang matang ini sebagai satu pihak menjinakkan pihak lain adalah tafsiran yang amat salah terhadap realiti politik. DAP sentiasa berpegang kepada prinsip penubuhannya yang memperjuangkan kepelbagaian dan kepentingan seluruh rakyat," katanya dalam kenyataan.
