Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bukan Nurul Izzah Anwar tak bagus. Bukan Nurul Izzah tak berkarisma. Bukan juga kerana Nurul Izzah tak petah berkata-kata. Kerana Nurul Izzah bintinya Anwar Ibrahim. Itulah sebabnya beliau belum cukup nisab dan haul untuk bertanding sebagai timbalan presiden PKR kali ini. 

Ramai yang berhujah mempertahankan cadangan mencalonkan Nurul Izzah sebagai bukan nepotisme kerana jawatan itu dipertandingkan bukannya dilantik oleh presiden, ayahandanya sendiri. 

Masih demokratik, bukan? Benarlah. 

Kalau diheret ke Mahkamah Antarabangsa sekalipun tidak ada siapa pun yang bisa menyangkal hakikat teknikal tersebut. Tetapi. Tetapi kita bercakap soal persepsi. Istilah persepsi yang dipelopori oleh parti-parti pembangkang satu masa dahulu, itulah soal pokoknya. 

PKR adalah teraju utama dalam kerajaan hari ini. Meletakkan anak perdana menteri sebagai calon kedua tertinggi dalam hirarki parti pemerintah menghantar isyarat yang salah kepada rakyat dan kepada pengundi. 

Istilah nepotisme dan kronisme yang dipopularkan oleh PKR kurang lebih 25 tahun dahulu akhirnya berbalik tertimpa di atas kepala sendiri. Demikianlah pandangan rakyat dan begitulah juga modal politik yang akan diperoleh secara percuma oleh parti pembangkang. 

Lagi pula, ketika ini Nurul Izzah bukanlah seorang anggota parlimen yang dipilih melalui pilihan raya, berbeza dengan Rafizi Ramli. Rafizi malah menteri yang memegang portfolio yang penting. 

Segala gerak kerja beliau pun sedang elok disusun dan dilaksanakan untuk rakyat, untuk apa perlu digugat? Ya, secara demokrasi tidak ada sebab untuk pertandingan ini dihalang. Bagaimanapun, dari sudut persepsi politik, parti tersebut tidak dapat menghalang daripada terbinanya persepsi rakyat bahawa parti ini juga mengamalkan nepotisme. 

Nepotisme bermaksud amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan sendiri. 

Tapi secara peribadi, dengan menilai keupayaan Nurul Izzah dan mengikuti perjuangan reformasi sejak 1998, saya tidak rasa Anwar Ibrahim ‘perlu’ memberikan kelebihan kepada Nurul Izzah. Nurul Izzah mempunyai kredibiliti dan karismanya yang tersendiri. 

Kalau tidak masakan ada yang meramalkan beliau adalah calon perdana menteri wanita pertama untuk negara ini. Perjuangan reformasi itu sendiri ditandai dengan keberanian dan kesungguhan sang Puteri Reformasi ini.

Di sini kita bercakap soal realiti, realpolitik. Di sebalik keterbukaan demokrasi yang tidak menghalang sesiapa pun untuk bertanding, hakikatnya ini bukanlah masa yang terbaik bagi Nurul Izzah disodorkan ke hadapan oleh para penyokongnya. 

Dalam politik Malaysia bukanlah asing jika kerabat sang penguasa tertinggi diangkat dan dijulang oleh pengikut sekeliling. Nama Mukhriz Mahathir melantun naik ketika bapanya menjadi perdana menteri. 

Tak salah jika ada keupayaan

Begitu juga Khairy Jamaluddin, yang digelar ‘budak tingkat empat’ di Putrajaya satu masa dahulu, namanya tiba-tiba tersohor ketika bapa mertuanya almarhum Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. 

Mereka, jika cenderung berpolitik, senang saja diberi dan dijulang oleh orang sekeliling kerana faktor kedekatan dengan penguasa tertinggi, sang perdana menteri. Namun, tidaklah pula bermakna salah jika anak perdana menteri atau mana-mana anak menteri menceburi politik dan diterima baik. 

Kalau sudah memang ada keupayaan dan kekuatannya tak salah pun. Najib anak Tun Razak. Hishamuddin anak Hussein Onn. Mukhriz anak Mahathir. Khairy Jamaluddin menantu Abdullah. Nurul Izzah anak Anwar Ibrahim. Lim Guan Eng anak Kit Siang. Mujahid anak Yusuf Rawa. 

Semuanya tidak sekadar melukut di tepian gantang dalam karung politik. Mereka mempunyai kebolehan dan kekuatan tersendiri. Mereka benar-benar ahli politik yang barangkali terlatih secara tidak langsung melalui penglibatan ayahanda mereka. Tak salah mereka berpolitik dan tak salah mereka diangkat menjadi pemimpin, ketika mereka benar-benar layak.

Kembali kepada PKR. Untuk waktu ini, pemilihan kali ini, lebih baiklah segala tumpuan dan sokongan diberikan kepada Rafizi supaya tidak menimbulkan kekalutan di kemudian hari. 

Sudahlah pemilihan kali ini dicemari dengan pelbagai kontroversi ekoran dakwaan kelemahan sistem undian pemilihan di cabang, usahlah dikeruhkan lagi dengan isu pemilihan timbalan presiden yang lebih nasional sifatnya.

Saya bukan ahli PKR. Saya cuma seorang ahli akademik kecil yang mengikuti perkembangan parti ini sejak penubuhannya, malah sejak detik awal Adil digerakkan pada tahun 1998 melalui himpunan Gerak di Taman Melewar, Gombak. 

Saya adalah lensa bebas yang mendengar suara-suara umum jauh di bawah, di kedai kopi, di kenduri kahwin, di ‘reunion’ kawan-kawan dan sanak saudara. 

Yang dituangkan di sini adalah terjemahan daripada bunyi di luar sana. Saya dan tulisan ini tak berpengaruh dan tak mampu mengubah apa-apa pun. 

Tetapi percayalah, setiap langkah dan perkembangan dalam parti utama dalam ikatan pemerintahan ini ditenung dan diteliti oleh segenap rakyat yang memegang pensil dan kertas undi. Jangan nanti sudah terhantuk baru nak terngadah. 


SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN ialah pensyarah kanan sejarah di sebuah universiti di Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS