Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuarantinkan wakil rakyat GRS yang positif rasuah dari PRN - Adun Warisan
Diterbitkan:  May 9, 2025 1:22 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Wakil rakyat daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didapati 'positif' rasuah perlu ‘dikuarantin’ daripada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata seorang Adun Warisan.

Adun Elopura, Calvin Chong menyifatkan rasuah ibarat wabak Covid-19 yang sekiranya tidak dibendung, boleh menular kepada orang lain.

"Semua orang mesti ingat semasa pandemik Covid-19, jika mana-mana individu didapati kontak rapat atau positif Covid-19 harus dikuarantin. Rakyat Sabah perlu mengambil tindakan yang sama iaitu kuarantin wakil rakyat dari GRS yang positif rasuah dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang tidak lama lagi.

“Ganti kerajaan dan wakil rakyat daripada GRS yang terlibat kegiatan rasuah adalah satu-satunya jalan keluar untuk menamatkan wabak rasuah di Sabah.

"Jika kelompok YB yang positif rasuah masih dibenarkan bergerak bebas dalam masyarakat, apa yang akan terjadi?

“Mereka boleh menyebarkan virus rasuah kepada orang lain. Ia akan mengancam sistem dan amalan sosial di Sabah sekaligus memusnahkan masa depan generasi muda," kata Chong dalam kenyataan media.

Semalam, pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah di Sabah membuat laporan polis kerana bimbang menerima nasib yang sama seperti Pamela Ling, yang diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Lelaki berusia 36 tahun itu, yang hanya dikenali sebagai “Albert”, dalam satu wawancara terbaru bersama bekas menteri Zaid Ibrahim, menggambarkan tindakannya mendedahkan dakwaan rasuah yang melibatkan beberapa Adun dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, sebagai menggadaikan nyawa sendiri.

Chong berkata demikian mengulas artikel yang disiarkan Utusan Malaysia kelmarin bertajuk “lima tahun Hajiji usaha perangi rasuah”.

Artikel itu menyebut antara gesaan awal Hajiji ketika menjadi ketua menteri adalah mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) di semua badan kerajaan negeri untuk memastikan tahap integriti tinggi dalam kalangan penjawat awam dan menangani gejala rasuah

Laporan itu juga menyatakan Hajiji turut menggesa masyarakat melaporkan salah guna kuasa dan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

"Sekali lagi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta memperbodohkan rakyat Sabah.

"Hajiji Noor tidak berasa malu atau bersalah berhubung kenyataannya? Mungkin beliau tidak tahu bahawa seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Sabah sedang ketawa berkenaan lakonannya,” dakwa Chong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS