Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Burung hijrah: Peranan Malaysia di laluan terbang global

Tema tahun ini bagi Hari Burung Hijrah Sedunia (World Migratory Bird Day - WMBD) 2025 ialah “Mewujudkan Bandar dan Komuniti Mesra Burung,” yang menekankan kepentingan menyesuaikan persekitaran bandar dan luar bandar untuk menyokong kelangsungan hidup burung hijrah.

Disambut dua kali setahun pada 10 Mei dan 11 Oktober, WMBD menggambarkan pergerakan bermusim burung di seluruh dunia, terutamanya di sepanjang laluan seperti Laluan Terbang Asia Timur Australasia (EAAF), yang terbentang dari Artik Rusia dan Alaska ke Australia dan New Zealand.

Di Malaysia, WMBD mempunyai kepentingan ekologi tertentu, kerana Malaysia terletak di sepanjang Laluan Terbang Asia Timur Australasia iaitu salah satu laluan burung hijrah utama di dunia. Malaysia berfungsi sebagai tempat persinggahan yang penting untuk lebih daripada 50 juta burung air yang berhijrah daripada lebih 250 populasi yang berbeza.

Burung-burung ini menggunakan tanah lembap, paya bakau, kawasan lumpur, kukup dan kawasan berhutan di seluruh Malaysia untuk berehat dan mendapatkan makanan dalam perjalanan antara tempat pembiakan di utara (seperti Siberia dan China) dan kawasan bukan pembiakan di selatan (termasuk Australia dan Indonesia).

Menurut penyelidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini berdasarkan data daripada Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), kira-kira 44 peratus spesies hijrah di seluruh dunia mengalami kemerosotan, dengan satu daripada setiap lima spesies menghadapi kepupusan.

Kebanyakan burung ini melalui tapak utama di Malaysia seperti Kuala Gula di Perak, Tanjung Tuan di Negeri Sembilan/Melaka, dan Kuala Selangor, di mana ia bergantung kepada kawasan lumpur, paya bakau dan tanah lembap pesisir pantai untuk meneruskan perjalanan mereka yang panjang.

Namun, habitat-habitat ini semakin terancam. Pembandaran yang pesat, tebus guna tanah, akuakultur, pencemaran, dan perubahan iklim menyusut atau mengecilkan ruang semulajadi yang diperlukan oleh burung ini untuk berehat dan mendapatkan makanan. Pencemaran cahaya dari bandar-bandar yang semakin berkembang seperti Kuala Lumpur juga mengelirukan burung ini pada waktu malam, manakala kehilangan habitat dan saliran tanah lembap mengurangkan bekalan makanan dan tempat berehat selamat yang diharapkan. Walaupun Malaysia telah menetapkan beberapa tanah lembap Ramsar bagi perlindungan termasuk di Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor namun penguatkuasaan dan pembangunan mampan kekal kritikal.

Antara burung hijrah yang terancam yang mengunjung Malaysia ialah Nordmann's Greenshank, dengan kurang daripada 1,000 ekor yang masih tinggal di seluruh dunia; the Spoon-billed Sandpiper, dengan hanya beberapa ratus ekor lagi yang masih tinggal; dan Siberian (Snow) Crane, salah satu spesies burung hijrah yang paling jarang di dunia. Burung ini sangat terdedah kepada gangguan habitat, dan bilangannya semakin berkurangan.

Pertubuhan seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerajui usaha kesedaran. Acara memerhati burung seperti Raptor Watch di Tanjung Tuan, yang diadakan semasa WMBD, menarik perhatian kepada peranan Malaysia dalam pemuliharaan burung global. Terdapat juga peningkatan kerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa di bawah Perkongsian Laluan Terbang Asia Timur Australasia.

Menurut laporan BirdLife State of the World's Birds dan data IUCN, hampir separuh daripada spesies burung di dunia semakin berkurangan, dengan spesies hijrah terutamanya berisiko. Peranan Malaysia adalah penting, dan masa depan burung-burung ini bergantung pada penyelidikan yang berterusan, pemantauan, perlindungan habitat dan pendidikan awam.

Menjelang WMBD 2025, CAP menggesa badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan sektor swasta untuk berganding bahu dalam melindungi laluan hijrah dan memastikan Malaysia kekal sebagai tempat perlindungan selamat bagi burung-burung yang berhijrah.


MOHIDEEN ABDUL KADER ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS