Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) mengecam Majlis Perbandaran Selayang (MPS) atas dakwaan gagal mempamerkan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) ke atas Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah untuk paparan awam.
Ini walaupun dokumen itu sepatutnya dipamer di tiga lokasi yang ditetapkan sejak 7 Mei, termasuk premis MPS.
RTI mendakwa apabila wakilnya hadir ke pejabat MPS hari ini, mereka dimaklumkan bahawa dokumen itu belum lagi sedia untuk paparan awam kerana ia baru menerimanya hari ini.
Di samping itu, pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Perancang Bandar MPS dikatakan berada di luar pejabat, dan dengan itu tidak dapat meluluskan laporan itu untuk tatapan awam.
RTI mengecam perkara ini sebagai pelanggaran hak penduduk untuk akses penuh dan tepat pada masanya kepada laporan EIA dan kandungannya.
“Kelewatan ini tidak boleh diterima dan memalukan, kerana notis rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) jelas menyatakan bahawa laporan itu akan dipamerkan kepada umum mulai 7 Mei dan 5 Jun, dan maklum balas orang ramai boleh dikemukakan sehingga 20 Jun.
“Kegagalan menyediakan dokumen itu menjejaskan hak masyarakat untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam proses membuat keputusan dan sekali lagi menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan dan akauntabiliti projek," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi MPS untuk mendapatkan ulasan.
Sementara itu, RTI menggesa pihak yang bertanggungjawab atas kegagalan itu diambil tindakan, sambil mendesak MPS memperbetulkan keadaan tanpa berlengah lagi.
Ia juga menggesa JAS melanjutkan tempoh maklum balas orang ramai untuk projek itu berikutan kelewatan menyediakan akses kepada dokumen itu.
Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah ialah loji sisa kepada tenaga yang dicadangkan di Batu Arang, Rawang, dan merupakan salah satu daripada beberapa loji sedemikian yang diluluskan oleh kerajaan negeri.
Apabila siap, loji itu dijangka membakar sehingga 2,400 tan sisa pepejal perbandaran setiap hari dan menjana sehingga 48 megawatt elektrik.
Fasa lanjut projek itu boleh dikembangkan dengan loji tambahan untuk memproses sehingga 100 tan sisa terjadual sehari, dan loji lain dengan kapasiti 1,000 tan sisa pepejal perbandaran setiap hari.
Penduduk Batu Arang telah menentang projek itu kerana kebimbangan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.
Satu lagi sebab utama penolakan penduduk adalah struktur geografi Batu Arang, kerana bandar ini terletak di bekas lombong arang batu terbuka, yang menurut kumpulan itu menjadikan tanah itu tidak stabil dan menimbulkan risiko runtuh.
RTI telah mengatakan bahawa terdapat lapisan arang batu sepanjang kira-kira 50km di bawah Batu Arang, dan loji seumpamanya menimbulkan kemungkinan kebakaran atau letupan.
JAS baru-baru ini telah mengeluarkan notis bahawa laporan EIA untuk projek itu akan dipamerkan kepada umum selama sebulan, manakala orang ramai boleh memberi maklum balas kepada JAS sehingga 20 Jun.
Selain pejabat MPS, ia juga boleh dilihat di perpustakaan JAS di ibu pejabat Putrajaya dan pejabat Shah Alam.
Dokumen itu juga boleh dilihat dalam talian, tetapi tidak boleh dimuat turun, semasa tempoh paparan awam.