Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mahu rakyat benci'- Terengganu pertahan papan tanda larang homoseksual
Diterbitkan:  May 10, 2025 1:12 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Kerajaan Terengganu mempertahankan papan tanda larangan berkaitan homoseksual yang dipasang di beberapa lokasi di negeri itu, dengan mengatakan ia memang bertujuan untuk menimbulkan kebencian orang ramai terhadap perlakuan sedemikian.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha mendidik rakyat agar menjauhi perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan norma masyarakat.

“Memang kita mahu rakyat benci kepada perbuatan homoseksual ini. Kita mahu mereka anggap ia kotor, salah dan perlu dijauhi.

“Papan tanda seperti ini adalah sebahagian daripada usaha menyemarakkan suasana bandar dengan syiar Islam.

“Misalnya, untuk papan tanda lain yang memaparkan unsur-unsur memuji Allah SWT, bila orang lalu dan nampak, mereka baca. Kalau hari itu tak sebut Subhanallah pun, mungkin dengan tengok papan tanda ini mereka akan sebut,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Wan Sukairi mengulas laporan sebuah portal berita yang mempersoalkan kewujudan papan tanda larangan berkaitan homoseksual berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pada 8 Mei lalu, Free Malaysia Today melaporkan papan tanda itu yang memaparkan dua figura lelaki berpegang tangan sambil dikelilingi api bersama ayat al-Quran yang melarang hubungan sejenis.

Pihak pengurusan UMT pula memaklumkan mereka tidak mengetahui kewujudan papan tanda itu dan ia bukan di bawah bidang kuasa universiti berkenaan.

Sementara itu, kumpulan hak asasi Justice for Sisters (JFS) mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan kenyataan Wan Sukairi bersifat diskriminasi.

“Fakta bahawa seorang exco negeri boleh membuat kenyataan sebegitu menunjukkan tahap diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ yang membimbangkan,” kata pengasas bersama JFS, Thilaga Sulathireh kepada Malaysiakini.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya sebarang penyalahgunaan agama terhadap komuniti LGBTIQ, wanita dan golongan minoriti. Tindakan seperti ini turut dikecam oleh pelapor khas PBB dan badan antarabangsa lain,” tambahnya.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata pemasangan papan tanda tersebut memberi peringatan berterusan kepada orang ramai, terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan golongan muda termasuk institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kita sasarkan kawasan IPT sebab di situ ramai anak muda. Mesej ini penting supaya mereka tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif,” ujarnya.

Dia juga menegaskan bahawa setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu boleh memilih gaya penyampaian yang berbeza, namun tujuannya tetap sama, iaitu untuk mendidik dan mencegah.

“Apa yang kita laksanakan ini merupakan inisiatif PBT masing-masing. Di tempat lain mungkin menggunakan perkataan yang berlainan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS