Aktiviti pencerobohan tanah di Pahang wajib ditangan secara tindakan tegas dan sebarang kompromi tidak dapat diterima, kata dua pemimpin PN negeri hari ini.
Dalam kenyataan bersama dibuat Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abd Jabar, serta Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Jasri Jamaludin.
Menghargai perhatian dan tindakan yang diambil Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dalam isu berkenaan, mereka berkata kemelut pencerobohan haram tanah di negeri itu sudah berlarutan selama berdekad-dekad.
Ketegasan dan keberanian Al-Sultan Abdullah, kata mereka, adalah manifestasi sebenar seorang pemimpin berdaulat yang mempertahankan kedaulatan negeri serta maruah undang-undang.
Rosli merupakan Adun Tanjung Lumpur manakala Jasri pula Kuala Sentul.
Menurut Jasri pembangkang berasa kesal kerana jumlah keluasan tanah diteroka secara haram di Raub adalah lebih besar berbanding ketika dibentang dalam sidang DUN Pahang yang berakhir 24 April lalu.

"Insiden yang terbongkar di Raub – apabila angka sebenar kawasan yang diteroka secara haram jauh melebihi angka dibentangkan dalam titah rasmi tuanku – menimbulkan tanda tanya yang amat serius terhadap ketelusan dan integriti pihak berkuasa negeri.
"Apakah maklumat diberikan kepada tuanku telah dimanipulasi? Apakah angka-angka ini sengaja dikecilkan untuk melindungi pihak tertentu?
"Lebih mendukacitakan, hingga kini tiada satu pun tindakan tegas dikenakan terhadap penceroboh tanah yang nyata bersalah," katanya.
Rosli pula beranggapan sikap berdiam diri dan gagal bertindak oleh pihak pentadbiran negeri bukan sahaja menghina titah sultan, malah mencemar nama baik institusi raja dan menggugat keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan.
"Kerajaan Pahang harus menjawab secara jujur – siapa yang melindungi peneroka haram itu? Siapa yang mendapat manfaat dari penanaman musang king di atas tanah kerajaan dan hutan simpan kekal?
"Adakah terdapat campur tangan politik, termasuk daripada parti komponen tertentu yang dikenal pasti secara terbuka membela penceroboh, sehingga menyebabkan tindakan tidak dapat diambil?," katanya.

Mereka turut menegaskan sebarang cubaan memperlekeh atau mengkhianati titah Al-Sultan Abdullah adalah tindakan tidak berperlembagaan dan tidak boleh dimaafkan.
"Ini bukan soal politik kepartian. Ini soal maruah negeri, keluhuran perlembagaan, dan kedaulatan undang-undang.
"Jika kerajaan negeri tidak lagi berani mengambil tindakan hanya kerana tekanan daripada sekutu politik, maka langkah terbaik adalah untuk menilai semula komposisi kerajaan sedia ada," kata kenyataan bersama itu lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Rosli dan Jasri menjelaskan PN bersedia memberi sokongan penuh kepada kerajaan Pahang agar berani bertindak adil dan tegas terhadap penceroboh, tanpa takut atau tunduk kepada ugutan politik.
"Kita tidak boleh membiarkan pengkhianatan terhadap negeri ini terus berlaku atas nama kompromi politik.
"Jangan sampai suara raja, suara rakyat dan kedaulatan negeri ini menjadi bahan permainan angka dan retorik kosong semata-mata," kata mereka.