Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Warisan jangka Hajiji diheret ke mahkamah dalam masa terdekat
Diterbitkan:  May 10, 2025 8:21 PM
Dikemaskini: 12:24 PM

Pemuda Warisan menjangkakan pemimpin politik Sabah termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah berkaitan lesen cari gali mineral akan diheret ke mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Pemuda Warisan Terence Au berkata demikian selepas Pakatan Harapan (PH) dan BN mengumumkan akan bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

"Seluruh rakyat Malaysia terutamanya orang Sabah ingin tahu apa mesej yang dihantar oleh kerajaan persekutuan di bawah pimpinan PH dan BN berhubung keputusan meninggalkan GRS.

"Adakah sesuatu tangkapan akan berlaku terhadap Hajiji, speaker DUN dan lapan Adun GRS yang (didakwa) terlibat dalam skandal rasuah?

"Kemungkinan besar mereka yang terlibat dalam skandal rasuah akan dituduh ke mahkamah dalam masa yang terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Hajiji yang juga pengerusi GRS berkata gabungannya bersedia bertanding secara solo pada PRN akan datang sekiranya PH dan BN sudah muktamad untuk bekerjasama.

Ketua menteri itu menegaskan bahawa parti Sabah mesti menjadi teras kerajaan negeri.

Sementara itu, Au mendakwa Hajiji mengemis kerjasama dengan PH sebelum ini untuk mendapatkan perlindungan berhubung skandal rasuah yang melanda pentadbirannya.

"Namun, beliau tetap gagal mencapai matlamatnya.

"Seluruh rakyat Sabah tertunggu-tunggu perkembangan seterusnya, kita berharap sepuluh YB termasuk Hajiji yang (didakwa) melakukan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa akan menerima hukuman yang setimpal," katanya.

SPRM pada 29 April lalu menjangkakan laporan forensik berhubung video dakwaan rasuah melibatkan beberapa Adun di Sabah berkaitan isu pelesenan lombong mineral dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya sedang melakukan penelitian rapi terhadap semua 10 klip video yang diberikan pemberi maklumat berhubung skandal rasuah berkenaan.

Selain rakaman video itu, pemberi maklumat itu juga telah mendedahkan banyak mesej WhatsApp mengenai perbualannya dengan Adun yang didakwa terlibat dalam skandal itu.

Pemberi maklumat itu telah menuduh Adun berkenaan menerima rasuah daripadanya sebagai pertukaran untuk lesen cari gali mineral.

Hajiji menafikan dakwaan rasuah terhadapnya dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada kempen untuk menjatuhkan pentadbirannya.

Sabah perlu mengadakan PRN selewat-lewatnya pada Disember tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS