Penyandang timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi jika gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan PKR akan datang.
Mengakui dia sebenarnya agak lega dengan kemungkinan itu, menteri ekonomi itu berkata dia akan mempunyai lebih banyak masa dan lebih bebas bersuara dalam pelbagai isu.
"Kalau saya kalah saya letak jawatan dan jadi ahli parlimen biasa, saya bersyukur kerana ada hikmah beberapa perkara. Saya tak dibebankan dengan tugas jadi menteri.
"Teruk tahu jadi menteri. Banyak tanggungjawab, tak terbuat. Yang kedua saya lagi gembira, mulut dan tangan saya tak terikat.
"Sebelum ini saya anggota pentadbiran. Kalau saya tak setuju pun, contohnya Azam Baki dilantik semula (sebagai ketua pesuruhjaya SPRM), saya tak boleh sebut secara terbuka sebab saya anggota pentadbiran. Ia akan langgar etika kerana keputusan dibuat oleh perdana menteri. Jadi saya terpaksa tutup mulut," katanya dalam siaran langsung podcast Yang Bakar Menteri.
Mengulas contoh lain, Rafizi berkata dia juga terpaksa berdiam diri meski tidak bersetuju dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengenai pelbagai isu.
Katanya, sekiranya dia bersuara, ia akan mengakibatkan media melaporkan tentang perbalahan antara menteri.
Rafizi dicabar oleh sekutu lama Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden PKR.
Awal hari ini, Nurul Izzah - yang merupakan anak Perdana Menteri Anwar Ibrahim - secara terbuka mengkritik pelantikan semula Azam yang merupakan kali ketiga di bawah pentadbiran Anwar.
Nurul Izzah mendapat sokongan luas dari dalam PKR, dengan banyak bahagian menjanjikan sokongan untuknya sebagai timbalan presiden.
Ini memberikan gambaran Rafizi berdepan cabaran besar untuk mengekalkan jawatannya.