Beberapa jam selepas India dan Pakistan bersetuju untuk gencatan senjata, terdapat laporan mengenai letupan yang kedengaran di bandar dan pekan di sempadan.
Kedua-dua negara saling menuduh antara satu sama lain telah melanggar perjanjian tersebut.
Menurut laporan Reuters, tembakan artileri dan serangan dron dilaporkan berlaku di Jammu dan Kashmir, manakala letupan daripada sistem pertahanan udara pula kedengaran di beberapa bandar yang terputus bekalan elektrik.
“Kami menyeru Pakistan supaya mengambil langkah sewajarnya untuk menangani pelanggaran ini dan mengendalikan situasi ini dengan serius dan bertanggungjawab,” kata Setiausaha Luar India Vikram Misri dalam sidang media.
Sebagai respons, Pakistan menyatakan pihaknya komited terhadap gencatan senjata dan menyalahkan India atas pelanggaran yang berlaku.
“Pasukan kami sedang menangani situasi ini dengan penuh tanggungjawab dan berhemah,” kata Kementerian Luar Pakistan.
Gencatan senjata diumumkan selepas empat hari serangan rentas sempadan, dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata perjanjian tersebut telah diusahakan oleh Amerika Syarikat.
Pakistan kemudian mengesahkan perjanjian itu dan menyatakan banyak negara telah terlibat dalam usaha diplomatik tersebut.
CNN memetik Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dalam ucapan yang disiarkan di televisyen malam tadi sebagai berkata, pasukannya telah “mencipta sejarah ketenteraan” tetapi tidak mengulas dakwaan berhubung pelanggaran gencatan senjata.
“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, apa yang dilakukan oleh musuh adalah memalukan dan bersifat pengecut. Tentera kita yang berani telah mencipta sejarah ketenteraan secara luar biasa,” kata Sharif.
“Dalam beberapa jam sahaja, jet kita telah mendiamkan senjata India dengan cara yang tidak akan dilupakan oleh sejarah,” katanya lagi.
