Rafizi Ramli mengkritik pengendalian pemilihan PKR peringkat cabang sebelum ini, yang disifatkan sebagai “badan tanpa kepala”, dan berkata Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) gagal berfungsi dengan baik.
Penyandang timbalan presiden PKR itu berkata, Pengerusi JPP Dr Zaliha Mustafa gagal menyelesaikan aduan berhubung wujudnya kepincangan seperti didakwa.
“Saya sudah lama suarakan dalam parti, kebimbangan saya bila kita sudah berkuasa orang berebut nak masuk parti kerana kita beri ruang…ada anggota yang saya panggil anggota 'airbnb' - dia masuk masa pemilihan lepas itu dia keluar.
"Jadi, mana yang boleh tapis kita tahu awal (ahli parti lain) dan kita bantah. Kalau di Jempol, pemilihan semula dibuat kerana yang menang ketua cabang pada masa sama dia juga jawatankuasa Pejuang Melaka.
“Kalau Zaliha nak marah, marahlah…JPP ini sepatutnya badan yang bebas yang buat tapisan kepada semua.
"Bila ada bantahan anda jawablah satu per satu, ini kadang-kadang bantahan sampai beratus-ratus dan dia tak jawab, kita tanya macam mana pun dia buat tak tahu," katanya dalam siaran langsung podcast Yang Bakar Menteri malam tadi.

Pemilihan PKR bagi peringkat cabang yang berlangsung bulan lalu menyaksikan beberapa insiden luar jangka, termasuk kekalahan ketua cabang dari kumpulan yang memenangi keseluruhan jawatankuasa, fenomena yang digelar “badan tanpa kepala”.
Pada 5 Mei lalu, Setiausaha Agung PKR Fuziah salleh memaklumkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu memutuskan untuk mengesahkan keputusan pemilihan peringkat cabang yang dipertikaikan
Dalam podcast malam tadi, Rafizi turut mengkritik Fuziah yang menurutnya gagal bertindak terhadap ahli parti lain yang menyertai pemilihan PKR, yang sepatutnya ditangani memandangkan soal keahlian terletak di bawah bidang kuasanya.
"Kalau kita bersuara atau lebih kata kita nak mempengaruhi...saya ingat banyak yang perlu diperbaharui tentang pengendalian pemilihan kita,” katanya lagi.
‘Pak turut dan tukang ampu’
Rafizi turut mengulas mengenai keputusannya untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden, berdepan dengan Nurul Izzah Anwar yang sudah menerima banyak sokongan di peringkat cabang.

Menurutnya, walaupun dia tidak berminat dengan jawatan, keputusan itu bagi menunjukkan PKR bukan parti “pak turut dan tukang ampu”.
“Ada orang tanya saya...buat apa buang masa YB baik kau tak payah bertanding.
"Pandangan saya begini: kalau sebelum ini parti ini dihormati kerana budaya kita yang objektif, kalau kita tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, akan ada pihak yang kata tidak bersetuju.
"Kalau saya tak tanding timbalan presiden, walaupun saya tak minat sangat nak jadi timbalan presiden, menteri dan sebagainya, kebimbangan saya ia akan sahkan pandangan umum bahawa PKR banyak pak turut dan tukang ampu," katanya lagi.