Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan tegas kepada sekutu dan seteru parti itu sempena ulang tahun ke-79 Umno.
“Pesan saya buat kawan atau lawan, jangan meragui kepercayaan dan jagalah batas sempadan.
“Api kecil yang dijaga rapi, jika dikhianati, akan menjulang menjadi bara. Bila ia marak, panasnya tak tertahan, nyalanya tak terelak – bimbang ia membakar semua…tanpa memilih rupa dan badan,” katanya semasa berucap dalam acara sambutan ulang tahun itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Zahid menyuarakan peringatan itu selepas dia menegaskan kepentingan Umno untuk terus memimpin politik sederhana.
Katanya, pendekatan itu amat penting dalam dunia yang “sarat dengan perpecahan dan prasangka”, dan menerusi pendekatan itulah Umno dapat kembali menjadi tonggak bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.
Zahid turut menyifatkan Umno sebagai “jurutera perkongsian kuasa,” dengan menekankan kekuatan yang terhasil daripada perpaduan.
“Umno tidak pernah bersendiri. Pada 1955, bersama MCA dan MIC melalui Perikatan – dipasak lagi kekuatan pada 1974 dengan pembentukan BN. Dalam kita terus mempertahankan prinsip parti, kita memupuk kepercayaan dan saling hormat.
“Inilah DNA politik Umno - politik kesederhanaan yang menolak ekstremisme, politik integrasi yang menolak retorik perkauman, politik kestabilan yang menolak perpecahan,” katanya lagi.
Di saat dunia semakin berjurang dengan politik ekstrem dan retorik yang memecah belah, kata Zahid, Umno tidak boleh terheret dalam perlumbaan untuk membuktikan siapa paling radikal.
Umno tak tunduk pada DAP
Zahid mengakui keputusan Umno menyertai kerajaan perpaduan selepas PRU lalu masih menjadi bahan sindiran dan perdebatan.Menurutnya, ada pihak yang meragui keikhlasan Umno dan cuba meniup sentimen di kalangan masyarakat dengan menuduh Umno kini tunduk kepada DAP.
Dia menjelaskan keputusan untuk membentuk kerajaan perpaduan dibuat demi kepentingan negara bagi memastikan kestabilan politik.

“Kepada mereka yang ghairah meniupkan sentimen agama dan perkauman, ingatlah — merekalah juga yang pernah bergandingan dengan DAP dalam Barisan Alternatif dan juga Pakatan Rakyat, hampir sedekad lamanya.
“Mereka jugalah yang membentuk kerajaan bersama DAP demi menjatuhkan kita pada PRU 2018, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo PKR.
“Lebih ironi, ketika Umno bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan. Hari ini, mereka meniru model yang sama, tetapi berselindung di sebalik retorik agama. Inilah hipokrasi politik yang sebahagian daripada kita mula termakan,” katanya lagi, jelas merujuk kepada PAS.
Zahid juga mengakui masih wujud kalangan dalam Umno yang “hatinya diselimuti keraguan”.
“Ada yang masih terpengaruh dengan bisikan dan sentimen. Saya menyeru semua ahli dan pemimpin Umno – hentikan benih keraguan, bangkit dan kuatkan keyakinan,” tegasnya.
“Masih ada yang terbuai dalam alunan sentimen dan bisikan. Saya mohon kepada seluruh ahli dan pimpinan Umno berhentilah menanam syak wasangka, bangkitlah memperteguh kepercayaan,” katanya lagi.
Lautan politik yang tak menentu
Zahid turut menggariskan cabaran besar Umno, termasuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap politik dan Umno sendiri selepas dilanda gelombang persepsi negatif, fitnah dan pembohongan sejak PRU14 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan BN.

“Kedua, bagaimana kita mesti mengukuhkan kembali kekuatan dalaman parti yang telah dilukai oleh perpecahan dan pengkhianatan — satu tuntutan yang menagih hikmah dan kebijaksanaan, bukan emosi yang membakar diri.
“Ketiga, mampukah Umno menyesuaikan pendekatan perjuangan agar selaras dengan kehendak generasi baru — sebuah generasi yang lahir dalam lanskap politik yang serba lain, dan serba tahu,” soalnya.
Merumitkan lagi keadaan, Zahid berkata Umno kini berdepan dengan landskap politik yang sangat tidak menentu.
Katanya, tiada lagi parti dominan seperti era sebelum PRU14, di mana Umno menjadi tunggak kestabilan politik.
Parti-parti politik pada masa ini perlu bergabung, berunding dan berkongsi kuasa untuk membentuk kerajaan, katanya lagi.
“Kedua, rakyat hari ini semakin terbuka, semakin kritikal. Kebergantungan mereka terhadap parti politik kian luntur, hingga wujudnya defisit kepercayaan yang terbit daripada imej pemimpin yang sering berbalah, berjanji kosong, dan menghindari kepentingan rakyat.
“Ketiga, generasi pengundi masa kini, Gen Z dan Alpha, hadir dengan sudut pandang yang berbeza, pandangan yang diasuh dan dibentuk oleh garis masa media sosial...bukan lagi oleh retorik lama yang kian pudar maknanya.
“Naratif sejarah tidak lagi mencengkam emosi mereka, yang mereka dambakan ialah masa depan yang menjanjikan harapan kepada diri dan tanah air mereka,” katanya lagi.
