Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: Kurang 30 peratus Melayu sokong PH, sokongan bukan Melayu menjunam
Diterbitkan:  May 12, 2025 1:46 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Ahli politik yang berhasrat merebut kuasa dan jawatan melalui kemenangan dalam pemilihan PKR dinasihati supaya berhati-hati, kata penyandang timbalan presiden Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, berbeza dengan aspirasi seterunya, PKR dan PH pada ketika ini tidak berada dalam kedudukan untuk memenangi PRU akan datang.

Dia merujuk data yang menunjukkan sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu masih tidak mencukupi, manakala sokongan pengundi Cina dan India merosot dengan mendadak.

Menurutnya, sokongan Melayu terhadap PH berada pada kadar 27 peratus setakat April tahun ini, meningkat sedikit daripada 20 peratus pada Ogos 2020.

Sementara itu, sokongan Melayu untuk BN dan PN telah menurun kepada 48 peratus, namun pecahan prestasi setiap gabungan tidak ditunjukkan.

Lebih membimbangkan, kadar pengundi Melayu yang belum membuat keputusan kini mencecah 26 peratus.

Lebih ketara, kadar pengundi Melayu yang belum membuat keputusan kini mencecah 26 peratus.

Perlu 35 peratus sokongan Melayu

Rafizi berkata, jika PKR ingin mengekalkan 30 hingga 40 kerusi Parlimen, parti itu memerlukan sekurang-kurangnya 35 peratus sokongan Melayu.

“Kita hanya ada dalam dua tahun lagi. Kalau setiap bulan (sokongan Melayu) mendatar atau naik satu peratus sahaja, saya bimbang.

“Kalau kita tak cecah 35 peratus (sokongan Melayu),buatlah macam mana pun, peluk dan damaikan akar umbi macam mana pun,  kita tak akan menang PRU akan datang,” katanya dalam ceramah di Seremban malam tadi.

Rafizi tidak menunjukkan saiz sampel, margin ralat atau metodologi dalam pembentangan data tersebut.

Namun, berdasarkan rekod terdahulu ketika dia mengemudi Invoke, kaedah persampelan perwakilan lazim digunakan, dengan saiz sampel yang besar.

Cara Rafizi menyampaikan data itu juga menggambarkan dia mengambil kira kemungkinan PH akan bertanding dalam PRU akan datang tanpa kerjasama dengan BN.

Sokongan Cina, India menjunam

Selain isu sokongan Melayu yang tidak mencukupi, Rafizi berkata sokongan bukan Melayu terhadap PH juga merosot dengan pantas.

Sokongan pengundi Cina dan India jatuh daripada sekitar 56 dan 50 peratus pada Ogos 2024 kepada hanya 31 peratus pada April lalu.

Rafizi berkata ini adalah satu trend yang seharusnya membimbangkan bukan sahaja PKR tetapi juga DAP.

“Ada orang akan kata, ‘jangan bimbanglah, pengundi Cina tak akan undi PN sebab ada PAS’.

“Agaknya apa yang pengundi Cina akan buat? Mereka akan buat seperti mana nasib kita di (PRK) Sungai Bakap - tak keluar mengundi,” kata Rafizi.

Dalam beberapa PRK sebelum ini, katanya, peratusan keluar mengundi pengundi Cina bawah 40 peratus, manakala pengundi Melayu lebih 70 peratus.

Jika trend ini berterusan dalam PRU, Rafizi berkata semua kawasan campuran yang ditandingi PKR akan menjadi kawasan majoriti Melayu dan dengan kadar sokongan Melayu yang rendah, ia akan membawa padah kepada parti itu.

Dia turut memberi peringatan bahawa rasa tidak puas hati pengundi India terhadap kerajaan pada masa ini kian meningkat.

Yakin dengan ekonomi, tapi tidak pada usaha lawan rasuah

Bagi menjelaskan sentimen pengundi, Rafizi berkata peningkatan sokongan Melayu yang perlahan selari dengan tahap rasa puas hati pengundi terhadap pengurusan ekonomi oleh kerajaan, yang kini berada pada 31 peratus, manakala kadar pengundi yang tidak puas hati menurun kepada 47 peratus.

Dia yang juga Menteri Ekonomi berharap keyakinan pengundi terhadap ekonomi dapat meningkat kepada 40 peratus menjelang PRU akan datang.

Namun, ia dibebani oleh faktor lain: keyakinan terhadap keupayaan kerajaan menangani isu rasuah.

Carta yang dikongsi Rafizi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah melebihi 20 peratus sejak Ogos 2024 dan meningkat melangkaui 30 peratus sejak Januari tahun ini.

Keyakinan terhadap usaha PKR memerangi rasuah adalah paling rendah dalam kalangan pengundi Gen Z yang berumur 18 hingga 27 tahun, iaitu hanya lapan peratus, serta pengundi milenial berumur 28 hingga 44 tahun.

Secara keseluruhan, Rafizi berkata PKR ketinggalan di belakang PAS dari segi keyakinan pengundi terhadap usaha membanteras rasuah.

Belajar daripada kejatuhan Najib

Rafizi berkata dia sedar akan dikritik kerana mendedahkan data sedemikian secara terbuka.

Namun, katanya, pendedahan itu adalah perlu.

“Sebab itu parti yang berkuasa kalah, sebab masalah semua disimpan (disembunyikan).

“Semua nak tunjuk kepada Anwar Ibrahim (dan kata) ‘Datuk Seri hebat, semua bagus’,” katanya lagi.

Dia memberi amaran bahawa sebelum PRU14, Najib Razak menerima 18 laporan kajian — 17 daripadanya mengatakan dia akan menang.

Namun, Najib akhirnya membawa BN kepada kekalahan pertama dalam sejarah PRU.

Rafizi kini dalam usaha mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pertandingan satu lawan satu menentang Nurul Izzah Anwar. Pengundian dijadualkan pada 23 Mei ini.

Dia mendakwa parti kini disusupi oleh gelombang golongan baru yang tidak berminat dengan agenda reformasi, sebaliknya didorong oleh peluang merebut kuasa dan jawatan setelah parti berada dalam kerajaan.

Ini ditambah dengan dakwaan ketidakaturan dalam sistem e-pengundian parti, yang menurutnya telah menyebabkan fenomena ketua pasukan tewas dalam pemilihan peringkat cabang walaupun ahli pasukannya menang. Keadaan itu menjejaskan ramai pemimpin yang menyokongnya.

Siapa yang tinggal apabila kuasa hilang?

Dengan nasib pasukannya bergantung pada pemilihan pusat, Rafizi menegaskan perlunya puntuk PKR membuat pertimbangan teliti untuk masa depan.

“Kita mesti merancang kepimpinan parti dengan kemungkinan terburuk, iaitu kalau dalam PRU akan datang kita kalah, macam mana?

“Kita terpaksa bersaing dalam keadaan (sokongan) yang tidak bergerak. Kalau kita tak dapat undi, macam mana?

“Kita juga kena fikirkan kalau ia berlaku, apa bentuk kepimpinan yang kita nak ada dalam parti?

“Kerana masa berkuasa ramai orang, masa hilang kuasa yang ada hanyalah kawan-kawan yang masuk parti bukan untuk pangkat, bukan untuk darjat, bukan untuk wang, bukan untuk kuasa,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS