Seorang pegawai Kementerian Ekonomi yang diterajui Rafizi Ramli meletak jawatan bagi membolehkannya bertanding dalam pemilihan peringkat pusat PKR.
Berhasrat membawa perubahan, Najib Bakar memohon agar para perwakilan memberi peluang dan sokongan kepadanya sebagai calon bagi penggal 2025-2028.
“Kenapa saya menawarkan diri? Saya lihat ada jurang komunikasi di antara kerajaan dan parti, di mana akar umbi parti sendiri tidak tahu dan tidak faham pelbagai usaha, dasar, inisiatif yang telah digerakkan kerajaan.
“Bila mana anggota akar umbi yang bergelumang saban hari dengan rakyat di bawah sendiri tidak faham, bagaimana mereka boleh diharapkan untuk menjadi ejen komunikasi, penyampai maklumat yang baik?” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Justeru, Najib berkata dia ingin merapatkan jurang tersebut dengan punca kuasa yang jelas, memainkan peranan sebagai penghubung antara jentera kerajaan, ahli parti dan aktivis, tanpa mengira kem atau puak.
“Dengan jalinan hubungan rentas agensi yang telah terbina sepanjang setahun setengah bertugas sebagai penjawat awam berstatus kontrak di Kementerian Ekonomi, insyaAllah saya yakin mampu menggalas tanggungjawab tersebut,” katanya lagi.
Walaupun berstatus kontrak, katanya, penjawat awam tetap tertakluk kepada pekeliling yang melarang pegawai kumpulan pengurusan tertinggi daripada bertanding jawatan parti politik.
“Serentak dengan pencalonan ini juga, saya akan meletakkan jawatan di Kementerian Ekonomi,” kata bekas timbalan ketua PKR Titiwangsa itu lagi.
Pada masa sama Najib mengakui peluangnya mungkin tipis kerana perlu bersaing dengan tokoh-tokoh besar, termasuk menteri dan timbalan menteri.
“Atas kertas, peluang untuk saya menang mungkin kecil berbanding barisan calon lain yang semuanya hebat-hebat belaka…Sebagai calon underdog, saya akan berusaha tanpa sebarang kerisauan di hati,” katanya.