Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menegaskan bahawa permohonan maaf tidak seharusnya menjadi penyelesaian setiap kali simbol negara dihina atau disalah guna.
Merujuk kejadian terbaru berhubung kesilapan pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 anjuran PAS Terengganu yang memaparkan bintang Jalur Gemilang dengan bilangan bucu serta jalur merah dan putih yang tidak lengkap, katanya tindakan undang-undang yang lebih tegas harus dikenakan.

"Sebab itu kita minta ahli parlimen kita gubal satu undang-undang mengenai perkara ini, agar ada satu tindakan undang-undang yang lebih keras boleh digunakan.
“Jangan normalisasikan selesai dengan minta maaf sahaja," kata Akmal dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, tindakan tegas perlu dikenakan kepada semua pihak yang terlibat dalam kesalahan, tanpa mengira latar belakang mereka.
"Jika kita minta tindakan yang tegas diberikan kepada akhbar, tindakan tegas dikenakan kepada pegawai KPM, sama juga tindakan yang tegas perlu diberikan kepada mereka yang terlibat ini.
“Supaya menjadi satu pengajaran. Bukan hanya minta maaf dan selesai begitu sahaja," tambahnya.

Kenyataan itu hadir susulan beberapa insiden sebelum ini yang mendapat perhatian umum, termasuk tindakan terhadap pengarang akhbar dan pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam satu kes, Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Chan Aun Kuang, dan Timbalan Ketua Subeditor, Tsai Shwu San, digantung tugas serta-merta selepas akhbar tersebut menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapannya.
Akhbar itu juga memohon maaf atas kesilapan tersebut dan menyatakan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Sementara itu, dalam insiden lain, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon maaf selepas memaparkan Jalur Gemilang dengan lapan jalur merah dan putih, dan bukannya 14, semasa dalam pembentangan laporan analisis peperiksaan SPM.
KPM menyatakan bahawa tindakan tegas telah diambil terhadap semua yang terlibat dan siasatan terperinci sedang dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Akmal menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang konsisten dan tegas perlu dikenakan kepada semua pihak yang melakukan kesalahan.
Ini, katanya bagi memastikan keadilan dan menjadi pengajaran kepada masyarakat.

"Kita tidak boleh ada dua darjat dalam pelaksanaan undang-undang. Semua pihak perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka," katanya.
Baru-baru ini, PAS Terengganu memohon maaf atas kesilapan pada Jalur Gemilang yang menjadi sebahagian daripada logo bahan promosi untuk acara yang bakal berlangsung.
Logo berkenaan memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo PAS di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Namun, beberapa warga maya mengkritik logo itu kerana hanya memaparkan bintang kuning 11 bucu dan 12 jalur merah dan putih berselang-seli.
Sepatutnya, bintang dan jalur Jalur Gemilang mempunyai 14 bucu dan 14 jalur, melambangkan 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia serta Wilayah Persekutuan.
