Sekretariat Gabungan NGO Melayu-Islam akan menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran di ibu negara pada 24 Mei ini bagi menyuarakan bantahan terhadap apa yang didakwa sebagai kegagalan kerajaan dalam mempertahankan kepentingan Melayu-Islam di negara ini.
Pengerusinya, Syed Hassan Syed Ali berkata penganjuran himpunan tersebut adalah reaksi terhadap keresahan rakyat, khususnya golongan Melayu-Islam, yang merasakan hak dan kepentingan mereka kian terhakis.
"Kerajaan Madani kini membawa Malaysia tanpa arah tuju dengan wujud pelbagai masalah dan membangkitkan isu perkauman yang semakin genting sekarang ini.
"Pada masa sama, kita lihat kerajaan juga tidak mampu tanganinya dan ia semakin menjadi-jadi dalam isu perkauman yang sebelum ini kita hidup harmoni sejak Merdeka lagi.
“Kepentingan Melayu semakin terhakis dan bukan sedikit,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Syed Hassan yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata sekretariat itu menyasarkan kehadiran sehingga 20,000 peserta dengan penyertaan lebih 1,000 NGO. Setakat ini katanya, 700 NGO Melayu Islam telah mengesahkan penyertaan mereka.

Menurut Syed Hassan, perhimpunan itu bukan hanya untuk mempertahankan hak Melayu-Islam, malah turut membawa suara kaum-kaum lain yang didakwa turut tertekan dengan pentadbiran kerajaan sekarang.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (URA), yang menurunya berpotensi menggugat pemilikan tanah orang Melayu di kawasan bandar; serta isu tanah rezab Melayu di Kampung Sungai Baru yang didakwa dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.
Turut disentuh ialah isu pemilikan Menara Kuala Lumpur, pengurusan Bernas, pemindahan pengendalian Puspakom kepada pihak lain, serta keputusan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghentikan penghantaran pelajar ke Mesir dalam bidang pengajian Islam.
Selain itu, isu penggunaan kalimah Allah turut dibangkitkan.

Syed Hassan menegaskan himpunan itu bukan perhimpunan politik, sebaliknya membawa suara rakyat khususnya umat Melayu-Islam yang semakin tertekan.
Namun, dia memaklumkan ahli-ahli politik dari mana-mana parti turut diundang, asalkan mereka hadir atas kapasiti sebagai orang Melayu dan bukan mewakili parti.
"Jangan ada pihak yang meragui kesungguhan dan usaha kami mengadakan perhimpunan ini. Ada ramai juga di pihak kerajaan mendakwa seolah-olah kita tunggang isu agama dan Melayu, sedangkan apa yang kita bisingkan selama ini betul dan ia berlaku.
“(Hak dan kepentingan Melayu) Dah hilang dan bakal hilang dan mereka (kerajaan) katakan kita tunggang ini semua.
“Sebenarnya mereka sendiri yang tunggang isu agama dan Melayu ini. Mereka sebenarnya yang tunggang dan burukkan Melayu Islam itu sendiri,” katanya.
Menjelang perhimpunan tersebut, dua siri ceramah turut dirancang pada 16 Mei di Sungai Buloh dan 23 Mei di Kampung Baru, Kuala Lumpur, dengan sasaran kehadiran melebihi 5,000 orang.
Syed Hassan turut menggesa agar pihak berkuasa tidak menghalang perhimpunan yang dirancang berlangsung secara aman.
"Jalan raya ini kerajaan punya dan sekali gus rakyat punya. Polis seharusnya membenarkan perarakan berjalan dengan aman dan polis hanya kena jaga rakyat yang berhimpun,” katanya.
