Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis, DBKL perlu jelaskan tuntutan permit untuk acara bacaan awam - PSM
Diterbitkan:  May 13, 2025 5:12 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa pihak berkuasa untuk memberi penjelasan berhubung tindakan menghalang sekumpulan anak muda daripada mengadakan sesi bacaan awam di Dataran Merdeka hujung minggu lalu.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM N Gandipan berkata, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menghentikan campur tangan terhadap aktiviti intelektual yang diadakan di ruang awam.

“PSM ingin menegaskan adalah hak rakyat untuk berhimpun, berdiskusi dan menjalankan aktiviti intelektual tanpa permit di ruang awam seperti Dataran Merdeka. 

“Tindakan polis yang minta ‘surat pemakluman’ untuk aktiviti membaca dan berbincang adalah tidak berasas dari segi undang-undang dan melanggar hak perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

N Gandipan

Katanya lagi, kehadiran polis dan anggota DBKL untuk menghentikan acara itu adalah satu bentuk intimidasi terhadap anak muda.

Gandipan turut membangkitkan apa yang disifatkannya sebagai percanggahan jelas kejadian itu dengan seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar golongan muda mengambil serius budaya membaca, seperti yang disuarakannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

“Ironi yang cukup membimbangkan jika ungkapan sebegini hanya menjadi hiasan, manakala anak-anak muda yang menyahut seruan ini diawasi dan dihalang oleh para penguatkuasa,” katanya lagi.

Terdahulu, sebuah kumpulan belia memaklumkan lapan hingga sepuluh anggota polis dan DBKL bertindak menghalang program bacaan dan perbincangan yang dianjurkan mereka pada jam sembilan malam, Sabtu lalu.

Menerusi hantaran di Instagram, Federasi Pemuda Kebangsaan (NYF) memaklumkan program tersebut bertujuan memanfaatkan ruang awam dalam memupuk budaya membaca dan perbincangan isu nasional.

Kumpulan itu mendakwa pihak berkuasa, yang kebanyakannya berpakaian biasa, mengarahkan mereka untuk menghentikan program tersebut dan bersurai sekitar jam 10 malam tanpa memberikan asas undang-undang yang jelas untuk arahan tersebut.

"Kehadiran pihak berkuasa dalam jumlah sebegitu, serta sikap tidak mesra terhadap aktiviti yang bersifat pendidikan dan intelektual, adalah bentuk intimidasi.

"Kami percaya bahawa membaca, berdiskusi dan menggunakan ruang awam secara damai tidak seharusnya dilayan seperti satu kesalahan. Budaya intelektual seharusnya digalakkan, bukan diganggu,” kata NYF.

Malaysiakini telah menghubungi pihak polis Kuala Lumpur untuk mendapatkan respons berhubung perkara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS