GLOBAL | China menarik balik sekatan selama sebulan ke atas penghantaran pesawat Boeing kepada syarikat penerbangan selepas kemajuan dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) yang buat sementara mengurangkan tarif di kedua-dua belah pihak, lapor Bloomberg pada Selasa, menurut Anadolu Ajansi (AA).
Menurut sumber, pegawai Beijing mula memaklumkan syarikat penerbangan tempatan dan agensi kerajaan bahawa penghantaran pesawat buatan AS itu kepada mereka boleh diteruskan.
Selain itu, syarikat penerbangan diberikan kebebasan untuk mengatur penghantaran mengikut jadual dan syarat mereka sendiri.
Pelepasan sekatan ini berlaku selepas dua ekonomi terbesar dunia itu mengumumkan perjanjian perdagangan dengan AS, yang mengurangkan tarif keseluruhan sebanyak 145 peratus ke atas kebanyakan barangan China kepada 30 peratus selama 90 hari.

Sejak 2 April, China juga menggantung sebarang tindakan lanjut terhadap AS dan mengurangkan cukai sebanyak 125 peratus ke atas import AS kepada 10 peratus.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua kerajaan mengakui kepentingan hubungan perdagangan yang "berlanjutan, dalam jangka panjang dan saling memanfaatkan."
Boeing menghadapi situasi sukar selepas China mengambil tindakan balas dengan tarif selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif terhadap kebanyakan rakan dagang utama.
Pada 15 April, Beijing mengarahkan syarikat penerbangan untuk menghentikan penghantaran pesawat Boeing, sekali gus menyebabkan pesawat syarikat itu tidak berdaya saing di pasaran pengangkut China.

Trump mengesahkan pada tarikh yang sama yang China menarik diri dan tidak akan membuat penghantaran pesawat daripada perjanjian Boeing yang utama.
"Mereka baru saja membatalkan perjanjian besar dengan Boeing, dengan mengatakan yang mereka 'tidak akan membeli' pesawat yang komited sepenuhnya," kata Trump.
Pemulihan penghantaran ini dijangka memberi impak positif kepada hubungan perniagaan dan operasi Boeing di China, antara pasaran penerbangan terbesar di dunia.
- Bernama-Anadolu
