Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO sastera bantah tindakan sekat program diskusi buku di tempat awam
Diterbitkan:  May 14, 2025 12:20 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) meluahkan rasa terkejut, terkilan, dan kecewa apabila program diskusi buku di Dataran Merdeka turut dikenakan permit oleh pihak berkuasa.

Pengasas NGO itu, Uthaya Sankar SB, berkata dia kecewa dengan sikap DBKL yang menganggu program anjuran Federasi Pemuda Kebangsaan (NYF).

Uthaya Sankar SB

"Acara diskusi buku, membaca buku, dan seumpamanya di tempat awam sepatutnya diraikan dan dijadikan budaya. Kavyan sendiri terlibat mengendalikan acara seperti ini sejak dahulu tanpa sebarang masalah.

"Antaranya, acara diskusi buku dan membaca teks sastera di Taman Tasik Kota Kemuning (Shah Alam), Tasik Taman Jaya (Petaling Jaya) dan Taman Tasik Taiping (Perak).

"Memandangkan majlis ilmu berkaitan buku diadakan di tempat awam dalam suasana aman tanpa mengganggu orang ramai, tidak ada alasan mengapa pihak berkuasa perlu menghalangnya.

"Tambahan pula, apabila acara diskusi buku dan membaca diadakan di tempat awam, ia dapat menarik minat orang ramai – kanak-kanak, remaja, dan dewasa – terhadap bahan bacaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah kumpulan belia memaklumkan lapan hingga sepuluh anggota polis dan DBKL bertindak menghalang program bacaan dan perbincangan yang dianjurkan mereka pada jam sembilan malam, Sabtu lalu.

Menerusi hantaran di Instagram, Federasi Pemuda Kebangsaan (NYF) memaklumkan program tersebut bertujuan memanfaatkan ruang awam dalam memupuk budaya membaca dan perbincangan isu nasional.

Kumpulan itu mendakwa pihak berkuasa, yang kebanyakannya berpakaian biasa, mengarahkan mereka untuk menghentikan program tersebut dan bersurai sekitar jam 10 malam tanpa memberikan asas undang-undang yang jelas untuk arahan tersebut.

"Kehadiran pihak berkuasa dalam jumlah sebegitu, serta sikap tidak mesra terhadap aktiviti yang bersifat pendidikan dan intelektual, adalah bentuk intimidasi.

"Kami percaya bahawa membaca, berdiskusi dan menggunakan ruang awam secara damai tidak seharusnya dilayan seperti satu kesalahan. Budaya intelektual seharusnya digalakkan, bukan diganggu,” kata NYF.

Sementara itu, Kavyan menyelar dan membantah tindakan pihak berkuasa menghalang mana-mana pihak mengadakan acara ilmu berkaitan buku di tempat awam.

Katanya, tempat awam adalah milik orang ramai yang tidak sepatutnya dihalang daripada pengajuran aktiviti sedemikian rupa.

"Sekiranya acara diadakan di premis milik orang lain, barulah perlu meminta kebenaran pemilik premis berkenaan. Tambahan pula, acara berkaitan buku diadakan di tempat awam secara aman dan dengan niat mencambah ilmu.

"Kerajaan sekarang di bawah (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim tentu lebih memahami perlunya acara ilmu diadakan secara meluas, termasuk dengan memanfaatkan ruang awam.

"Kerajaan sepatutnya menggalakkan acara seperti ini, bukannya menggunakan pihak berkuasa untuk mengganggu, menghalang, atau membatalkan acara seperti itu," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS