Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Malaysia boleh pertimbang semula sertai ICC

Berdasarkan perkembangan terkini melibatkan tragedi tembak jatuh pesawat Malaysian Airline MH17 pada 17 Julai 2014, Malaysia boleh memberi pertimbangan semula untuk menandatangani Statut Rom, sekali gus menjadi salah satu anggota negara kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).  

Dengan menjadi anggota kepada ICC, Malaysia akan lebih mudah mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana entiti atau negara yang melakukan jenayah terhadap negara, harta benda serta rakyat kita di peringkat antarabangsa.

Dengan menjadi anggota kepada ICC juga, ia menghantar isyarat keras kepada semua pihak untuk tidak melakukan sebarang perbuatan buli atau jenayah terhadap kita.

Baru-baru ini, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (Icao) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Turut menjadi mangsa adalah 43 orang rakyat Malaysia. Keputusan tersebut diumumkan menerusi kenyataan berasingan oleh kerajaan Belanda dan Australia pada 12 Mei, yang menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah menegakkan keadilan dan pertanggungjawaban terhadap mangsa serta keluarga mereka. 

Pesawat MH17 berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, sebelum ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika konflik antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine sedang memuncak.  

Pada November 2022, mahkamah di Belanda menjatuhkan hukuman bersalah terhadap dua rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine atas kesalahan membunuh, meskipun kesemua tertuduh tidak hadir semasa perbicaraan. 

Rusia pada waktu itu menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai “memalukan” dan enggan mengekstradisi warganegaranya. Menurut Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, keputusan Icao memberikan mesej tegas bahawa mana-mana negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan sewajarnya.

Keputusan ini merupakan langkah penting dalam usaha mencari kebenaran dan menuntut keadilan bagi semua mangsa MH17 serta ahli keluarga mereka. Belanda dan Australia akan terus mendesak Majlis Icao mengarahkan Rusia memulakan rundingan berkaitan pembayaran pampasan. 

Piawaian penerbangan global

Pertubuhan Icao yang beribu pejabat di Montreal, Kanada, tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan undang-undang, namun memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian penerbangan global yang diterima pakai oleh majoriti 193 negara anggotanya. 

Dengan mengambil kira perkembangan terbaru mengenai tragedi pesawat MH17 berkenaan serta segala permasalahan yang berlaku dan yang berkemungkinan berlaku pada masa, kerajaan perlu memberi pertimbangan semula bagi menandatangani Statut Rom.

Memandangkan masih belum menjadi anggota kepada mahkamah berkenaan, agak sukar untuk kita mengambil tindakan sewajarnya terhadap beberapa insiden seperti MH17 serta peristiwa seperti kes pembunuhan Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Februari 2017.  

Walaupun terdapat saluran lain yang boleh digunakan untuk tujuan siasatan dan tindakan undang-undang, namun dengan menandatangani Statut Rom, sekurang-kurangnya ia membuka ruang untuk satu bentuk saluran baru bagi menegakkan keadilan.

Setakat Oktober 2024, hanya 125 buah negara daripada sejumlah 193 buah negara dunia yang menandatangani serta menerima pakai perjanjian statut berkenaan. Malaysia pernah melahirkan hasrat untuk menyertainya pada 2009–dan pada 2019 bersetuju menandatangani–namun dibatalkan atas faktor politik dalaman negara. 

Tiada perkembangan terkini mengenai usaha Malaysia untuk menjadi anggota ICC sehingga kini. 

Selain itu, dengan menyertai ICC, Malaysia dapat melindungi hak warganegaranya serta pada masa yang sama memberi amaran kepada semua negara supaya tidak memandang rendah terhadap negara kita. 

Dengan keadaan keselamatan dunia yang masih tidak menentu, terutamanya ancaman berterusan yang dari kumpulan pengganas, penyertaan ke ICC sedikit-sebanyak dapat memberi sokongan dan bantuan sekiranya diperlukan.

Memandangkan cadangan untuk menandatangani Statut Rom ini adalah isu sensitif dan kompleks, kerajaan boleh mempertimbang untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan itu dengan bantuan pakar perundangan.  


MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor madya, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).  

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS