PAS Terengganu memberikan amaran secara bertulis kepada kakitangan yang bertanggungjawab susulan kesilapan Jalur Gemilang yang dipaparkan dalam logo promosi Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (HTMT 1.0) 2025.
Penolong Setiausaha PAS negeri, Hanafiah Mat, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi, hari ini.
"Kami dah mohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan. Sama dengan pihak lain, mereka mohon maaf saja.
"Beri amaran secara bertulis (kepada kakitangan)," katanya kepada Malaysiakini.
Hanafiah berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS Terengganu sedia disiasat berhubung kontroversi tersebut dan adakah pihaknya merasakan cukup sekadar memohon maaf atas kesilapan itu.
Terdahulu, kontroversi poster rasmi terbitan PAS Terengganu untuk mempromosikan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (HTMT 1.0) 2025 yang dijadual berlangsung di Kemaman pada 29 dan 31 Mei ini.
Logo acara itu memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo PAS di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Namun, logo itu menerima kritikan warga maya kerana hanya memaparkan bintang kuning 11 bucu dan 12 jalur merah putih — berbeza dengan Jalur Gemilang sebenar yang mempunyai 14 bucu dan 14 jalur, melambangkan 13 negeri serta Wilayah Persekutuan.
PAS Terengganu kemudiannya mengumumkan permohanan maaf secara terbuka rentetan kesilapan berkenaan.
Kes tersebut menjadi tumpuan kerana menjadi susulan kepada beberapa kes lain sejak bulan lalu membabitkan Jalur Gemilang diterbitkan dengan kecacatan, termasuk akhbar Sin Chew Daily yang memaparkan ilustrasi tanpa bulan sabit dan Kwong Wah Yit Poh yang menyiarkan foto bendera dengan bintang 13 bucu di Bukit Bintang.
Kejadian itu turut menghadirkan kritikan keras pelbagai pihak termasuk daripada sayap utama PAS yang menggesa supaya tindakan tegas diambil dan bukan sekadar permohonan maaf.
Sementara itu Hanafiah yang juga Adun Chukai berkata, pihaknya yakin susulan kontroversi itu tidak akan menjejaskan jumlah kehadiran orang ramai ke HTMT 1.0.
"Insya-Allah, ambe (saya) sasar 30,000 orang akan hadir," katanya yang juga Adun Chukai.