Penyandang jawatan timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli sedia berdebat dengan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar, dengan syarat ia dianjurkan pihak ketiga.
Rafizi berkata, persetujuan itu dibuat bagi meredakan sedikit suhu sepanjang kempen pemilihan PKR ketika ini.
"Saya pun dah banyak kali ditanya media mengenai perkara ini.
"Kita ini parti reformasi, dengan KJ (Khairy Jamaluddin) pun saya pernah debat, dengan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman, pun kita dah debat,” katanya dalam ceramah siri jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) di Mentakab, Pahang, malam ini.
Sementara itu dalam sidang medianya selepas itu, Rafizi berkata dalam pemilihan sebelum ini dia bersaing dengan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya secara kebiasaan apabila debat dicadangkan, ada pihak ketiga yang menjadi penganjur.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan, PKR adalah parti yang memang mahu membawa budaya politik baru.
“Kita akan masuk minggu terakhir kempen minggu depan.
“Maksudnya kalau boleh diadakan debat - memang sudah ada cadangan daripada anggota di bawah supaya diadakan debat.
"Saya sambut cadangan itu, saya serahkan kepada pihak... selalunya pihak medialah, yang tu saya serahkan kerana malam ini saya nyatakan kesediaan saya untuk berdebat," katanya.
Yakin kerajaan tak terjejas
Ditanya bila debat itu akan diadakan, Rafizi yang juga menteri ekonomi memaklumkan perkara itu diserahkan kepada penganjur.
"Selalunya kalau mengikut pengalaman dulu, akan ada pihak tampil untuk menganjurkan debat, kedua calon akan bersetuju dan urusan masa akan ditentukan oleh penganjur," jelasnya.
Dia bagaimanapun memberitahu pihaknya belum didekati mana-mana pihak dan pada masa sama tidak bercadang untuk mencari penganjur bagi tujuan debat itu.
"Kalau saya yang ketuk pintu penganjur, nanti orang boleh kata berat sebelah... jadi saya ingat lebih sesuai pihak media yang jadi penganjur," katanya.
Ditanya mengenai keputusannya melepaskan jawatan menteri ekonomi jika tewas kepada Nurul Izzah dalam pemilihan 23 Mei ini, Rafizi menegaskan perkara itu adalah keputusan terbaik untuk menstabilkan parti.
"Saya tak rasa jika saya letak jawatan, keadaan kerajaan perpaduan ketika ini akan terjejas.
"Masa saya mula-mula jadi menteri ekonomi, memang saya dah sebut kementerian ini bertanggungjawab membuat dasar menyeluruh, bukan saja ekonomi, tapi juga dasar sosial, dasar pendidikan dan sebagainya.
"Dua tahun pertama adalah untuk merancang dan tiga tahun seterusnya untuk pelaksanaan dan sekarang dalam tempoh pelaksanaan, jadi saya rasa ia tidak akan menjadi masalah," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kesediaan Rafizi, Nurul Izzah tidak memberikan komen lebih lanjut.
Ditemui media selepas mengadakan siri kempen di Shah Alam, Selangor malam tadi, Nurul Izzah menjelaskan dia mahu meredakan ketegangan yang ada.
Bagi pihaknya, menurut bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan, keutamaan yang diberikan ialah melibatkan diri dengan perwakilan.
“Saya lebih suka jika kita tidak menumpukan pada politik semata-mata," katanya.
